DUNIA
Kesatuan Eropah kecam kenaikan tarif keluli AS, sedia bertindak balas

Trump pada Jumaat mengumumkan, beliau bercadang untuk menggandakan tarif ke atas import keluli dan aluminium kepada 50 peratus. - Gambar fail
BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah (EC) pada Sabtu mengecam keras keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk menaikkan tarif ke atas import keluli daripada 25 peratus kepada 50 peratus, sambil memberi amaran bahawa langkah itu boleh mencetuskan tindakan balas segera dari Eropah, lapor Xinhua.
"Kami amat kesal dengan kenaikan yang diumumkan ini," kata jurucakap Suruhanjaya dalam satu kenyataan melalui e-mel, sambil menyatakan bahawa keputusan itu "menambah ketidaktentuan kepada ekonomi global dan meningkatkan kos kepada pengguna serta perniagaan di kedua-dua belah Atlantik."
Presiden AS, Donald Trump pada Jumaat mengumumkan, beliau bercadang untuk menggandakan tarif ke atas import keluli dan aluminium kepada 50 peratus.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya, Trump menyatakan kadar baharu itu akan berkuat kuasa pada 4 Jun.Suruhanjaya berkata, tindakan AS itu menjejaskan usaha yang sedang dijalankan untuk mencapai penyelesaian secara rundingan.
Pada April lepas, EU telah menggantung langkah balasnya bagi memberi ruang kepada dialog.
Namun kini, blok itu memberi isyarat kesediaan untuk bertindak.
"EU bersedia untuk melaksanakan tindakan balas, termasuk terhadap kenaikan tarif AS yang terbaharu," kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa Suruhanjaya kini sedang memuktamadkan rundingan berhubung langkah tambahan.
Langkah sedia ada dan tambahan oleh EU dijangka berkuat kuasa pada 14 Julai - atau lebih awal - "jika keadaan memerlukan."
Pentadbiran Trump sebelum ini telah mengenakan tarif menyeluruh sebanyak 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium pada 12 Mac, sekali gus mencetuskan kritikan hebat daripada industri automotif AS.
Kanada segera bertindak balas dengan mengenakan tarif timbal balik, manakala Kesatuan Eropah turut mengumumkan langkah serupa, namun akhirnya menarik balik tindakan itu.
"Suruhanjaya telah nyatakan dengan jelas kesediaannya untuk bertindak demi mempertahankan kepentingan EU - melindungi pekerja, pengguna dan industri kami," kata jurucakap EC itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami