Skip to main content

Dunia

Kesatuan pekerja Jerman perluas mogok, tingkat tekanan dalam rundingan gaji

Sepanduk tergantung pada pagar ketika pekerja menyertai mogok amaran anjuran kesatuan pekerja IG Metall di kilang BMW di Jerman. - Foto REUTERS
Sepanduk tergantung pada pagar ketika pekerja menyertai mogok amaran anjuran kesatuan pekerja IG Metall di kilang BMW di Jerman. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • IG Metall melancarkan mogok 24 jam melibatkan 23,000 pekerja di 19 syarikat di utara Jerman berikutan pertikaian gaji dan jaminan pekerjaan.
  • Syarikat terjejas termasuk Mercedes-Benz, Meyer Werft dan Siemens Gamesa, susulan mogok terdahulu yang melibatkan 12,300 pekerja di 17 lokasi.
  • Kesatuan menuntut kenaikan gaji lima peratus dan jaminan pelaburan, sementara majikan menawarkan kenaikan hanya bermula Julai 2028.
Advertisement

FRANKFURT: Kesatuan pekerja terbesar Jerman, IG Metall, mengumumkan tindakan mogok selama 24 jam melibatkan kira-kira 23,000 pekerja di 19 syarikat di utara negara itu pada Isnin ketika pertikaian berkaitan gaji dan jaminan pekerjaan semakin memuncak.

Menurut laporan Reuters, syarikat yang terjejas termasuk pengeluar automotif Mercedes-Benz, syarikat pembinaan kapal Meyer Werft serta firma tenaga angin Siemens Gamesa.

Tindakan itu menyusul mogok yang diadakan pada Jumaat lalu, apabila sekitar 12,300 pekerja di 17 lokasi kerja menghentikan operasi sebagai tanda bantahan terhadap tawaran majikan yang dianggap tidak memadai.

Advertisement

Ketua perunding IG Metall Kueste, Daniel Friedrich, berkata kesatuan tersebut akan meningkatkan tekanan terhadap pihak majikan selepas menerima sokongan kuat daripada ahlinya dalam siri protes sebelum ini.

"Kami kini memperhebatkan usaha kami. Pada Jumaat, ahli-ahli kami menunjukkan bahawa mereka bersedia memperjuangkan tuntutan mereka serta mempertahankan keselamatan pekerjaan. Pada Isnin, lebih 23,000 pekerja akan meningkatkan lagi tekanan terhadap majikan," katanya seperti dipetik Reuters.

Advertisement

Dalam rundingan semasa, IG Metall menuntut kenaikan gaji sebanyak lima peratus untuk pekerja. Kesatuan itu juga mahu syarikat-syarikat yang memilih untuk menyimpang daripada perjanjian industri sedia ada memberikan komitmen jelas berkaitan pelaburan, pembangunan produk, operasi tapak dan perlindungan pekerjaan.

Sebaliknya, pihak majikan dilaporkan menawarkan tiada kenaikan gaji tetap bagi tempoh 20 bulan pertama, sebelum peningkatan sebanyak 1.3 peratus hanya bermula pada Julai 2028.

Pertikaian itu berlaku ketika beberapa sektor perindustrian utama Jerman berdepan tekanan ekonomi, termasuk permintaan global yang lebih lemah, kos operasi yang tinggi dan persaingan antarabangsa yang semakin sengit.

Pemerhati industri menjangkakan rundingan antara kedua-dua pihak akan terus berlangsung dalam beberapa minggu akan datang, dengan ancaman mogok yang lebih meluas sekiranya tiada persetujuan dicapai.

 

 

Must Watch Video

Advertisement