Skip to main content

Dunia

Rundingan COP31 hampir capai persetujuan akhir - Presiden

Presiden COP31, Murat Kurum, dikelilingi para penasihatnya ketika sesi pleno penutup berlangsung sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Turkiye. - Foto AP
Presiden COP31, Murat Kurum, dikelilingi para penasihatnya ketika sesi pleno penutup berlangsung sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Turkiye. - Foto AP

Ringkasan AI

  • Negara-negara peserta COP31 di Antalya hampir mencapai persetujuan selepas menerima draf perjanjian baharu hasil rundingan intensif yang berlarutan melepasi tarikh akhir asal.
  • Draf terkini memberi perhatian kepada isu penggunaan bahan api fosil dan keperluan pembiayaan negara membangun, selepas kritikan terhadap cadangan terdahulu.
  • Keputusan COP31 dijangka menjadi petunjuk penting terhadap komitmen global mengekang pemanasan dunia yang kini berisiko melepasi had 1.5 darjah Celsius.
Advertisement

ANTALYA: Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya dilihat semakin hampir mencapai kata sepakat apabila negara-negara peserta diberikan draf perjanjian baharu yang diharap dapat memecahkan kebuntuan dalam rundingan yang berlarutan melepasi tarikh akhir asal.

Menurut Reuters, Presiden COP31, Murat Kurum, berkata teks terbaharu yang dikemukakan hasil rundingan intensif diyakini mampu mendapat sokongan semua pihak yang terlibat dalam persidangan berkenaan.

"Kami percaya teks yang dibentangkan ini boleh dipersetujui oleh semua pihak," katanya pada sesi pleno lewat malam Sabtu sambil memaklumkan bahawa sidang akan disambung semula pada Ahad bagi proses kelulusan rasmi.

Advertisement

Rundingan yang sepatutnya berakhir pada Jumaat berlanjutan sepanjang Sabtu sehingga awal pagi Ahad apabila para perunding terus berusaha mencari titik persamaan dalam isu-isu utama berkaitan perubahan iklim.

Draf baharu itu merupakan versi yang diperkemas selepas cadangan terdahulu menerima kritikan daripada beberapa negara dan pertubuhan alam sekitar kerana dianggap kurang bercita-cita tinggi, khususnya apabila tidak menyentuh secara jelas usaha mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.

Advertisement

Kurum berkata kebimbangan yang dibangkitkan mengenai penggunaan bahan api fosil serta keperluan pembiayaan bagi membantu negara membangun menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim telah diberikan perhatian dalam rundingan terkini.

Perbincangan tersebut melibatkan hampir 200 delegasi dari negara maju dan membangun, termasuk ekonomi terbesar dunia serta negara-negara kecil yang paling terdedah kepada ancaman kenaikan suhu global.

Australia selaku peneraju rundingan, dengan sokongan Turkiye sebagai tuan rumah, berusaha merangka formula yang dapat mengimbangi tuntutan negara-negara yang terkesan secara langsung akibat perubahan iklim dengan kepentingan negara yang ekonominya masih bergantung kepada pengeluaran atau penggunaan bahan api fosil.

Delegasi yang menghadiri persidangan itu diberi tempoh sehingga 0300 GMT untuk mengemukakan sebarang bantahan terhadap draf berkenaan sebelum sesi kelulusan dijadualkan berlangsung beberapa jam kemudian.

COP31 berlangsung dalam suasana kebimbangan yang semakin meningkat terhadap perubahan iklim global selepas badan alam sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengesahkan bahawa suhu purata dunia kini berada di landasan untuk melepasi kenaikan 1.5 darjah Celsius berbanding paras praindustri.

Had 1.5 darjah Celsius itu sebelum ini dipersetujui negara-negara dunia sebagai sasaran penting bagi mengelakkan kesan cuaca ekstrem yang lebih kerap dan lebih dahsyat, termasuk gelombang haba, banjir serta kemarau yang berpanjangan.

Pemerhati menjangkakan keputusan COP31 akan menjadi petunjuk penting terhadap kesediaan masyarakat antarabangsa mempercepatkan tindakan bagi mengekang pemanasan global dalam dekad akan datang.

 

 

Must Watch Video

Advertisement