Ringkasan AI
- Iran menyatakan kesediaan meneruskan usaha diplomatik dengan Amerika Syarikat, namun syarat yang dikemukakan Tehran ditolak oleh Presiden AS, Donald Trump.
- Rundingan tidak langsung masih berlangsung melalui pihak pengantara, dengan Iran menuntut jaminan komitmen AS sebelum sebarang kemajuan dicapai.
- Ketegangan meningkat selepas serangan ke atas kemudahan nuklear Iran, dengan Qatar terus berperanan sebagai pengantara dalam usaha meredakan konflik.
TEHRAN: Iran menyatakan kesediaannya untuk meneruskan usaha diplomatik bagi menamatkan konflik dengan Amerika Syarikat (AS), namun Presiden AS, Donald Trump, menegaskan syarat yang dikemukakan Tehran tidak dapat diterima Washington.
Menurut Reuters, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata rundingan tidak langsung antara kedua-dua negara masih berlangsung menerusi pihak pengantara, dengan Tehran berusaha mencapai persetujuan yang mampu mengelakkan tercetusnya konflik baharu.
Beliau berkata Iran turut menuntut jaminan bahawa AS benar-benar komited terhadap rundingan sebelum sebarang kemajuan lanjut dicapai.
Araghchi menegaskan antara perkara yang tidak boleh dirundingkan ialah simpanan uranium yang diperkaya pada tahap tinggi mesti kekal di Iran.
Bagaimanapun, beliau percaya penyelesaian yang adil masih boleh dicapai dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak.
Menurut Reuters, pihak berkuasa Iran sebelum ini pernah membincangkan beberapa formula kompromi, termasuk cadangan mencairkan stok uranium diperkaya di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Kenyataan itu dibuat ketika usaha diplomatik giat dijalankan bagi meredakan konflik yang telah menjejaskan kestabilan Asia Barat, mengganggu laluan perkapalan dan meningkatkan harga tenaga global.
Dalam sidang media pada Jumaat, Trump mengakui Iran mahu mencapai satu perjanjian, namun menyifatkan tawaran yang dikemukakan setakat ini tidak memenuhi kehendak pentadbirannya.
Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak selepas AS dan Israel melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran pada Februari lalu, sebelum Tehran bertindak balas dengan menyerang Israel serta beberapa negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS.
Reuters turut melaporkan Qatar terus memainkan peranan sebagai pengantara, dengan pegawai dari Doha dan Tehran mengadakan pertemuan minggu ini dalam usaha merapatkan jurang perbezaan antara cadangan yang dibawa kedua-dua pihak.