Skip to main content

Dunia

Datuk Bandar New York umum pelan tutup penjara Rikers Island menjelang 2032

Rikers Island, yang terletak antara daerah Queens dan Bronx, telah lama dikritik kerana keadaan infrastrukturnya yang uzur, kekurangan kakitangan serta beberapa kematian dalam tahanan. - Foto REUTERS
Rikers Island, yang terletak antara daerah Queens dan Bronx, telah lama dikritik kerana keadaan infrastrukturnya yang uzur, kekurangan kakitangan serta beberapa kematian dalam tahanan. - Foto REUTERS

Ringkasan AI

  • Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, mengumumkan pelan menutup penjara Rikers Island menjelang 2032 dan menggantikannya dengan empat kemudahan moden.
  • Rancangan ini bertujuan mengurangkan populasi tahanan daripada lebih 6,500 kepada sekitar 4,100 orang serta memperkenalkan program alternatif kepada penahanan.
  • Cadangan ini perlu mendapat kelulusan Majlis Bandaraya New York dan menerima kritikan berhubung isu keselamatan awam serta kapasiti tahanan.
Advertisement

NEW YORK: Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, mengumumkan pelan baharu untuk menutup kompleks penjara Rikers Island menjelang 2032, sambil mengurangkan jumlah tahanan dan menggantikannya dengan empat kemudahan tahanan yang lebih moden.

Menurut laporan BBC, rancangan itu turut menyasarkan pengurangan populasi tahanan di bandar raya itu daripada lebih 6,500 orang kepada sekitar 4,100 orang pada satu-satu masa.

Rikers Island, yang terletak antara daerah Queens dan Bronx, telah lama dikritik kerana keadaan infrastrukturnya yang uzur, kekurangan kakitangan serta beberapa kematian dalam tahanan.

Advertisement

Kemudahan itu turut menempatkan sejumlah banduan berprofil tinggi yang menunggu perbicaraan.

Pegawai yang bertanggungjawab menyelia penutupan penjara berkenaan, Dana Kaplan, berkata inisiatif itu bukan sekadar menamatkan penggunaan sebuah fasiliti lama, malah membuka ruang kepada pembentukan sistem tahanan yang lebih berperikemanusiaan.

Advertisement

Di bawah pelan itu, New York merancang membina empat penjara baharu, masing-masing di Brooklyn, Bronx, Queens dan Manhattan.

Kemudahan berkenaan dijangka mempunyai akses lebih baik kepada cahaya semula jadi, udara segar serta lebih mudah dikunjungi keluarga tahanan.

Pentadbiran Mamdani juga bercadang memperluaskan penggunaan program alternatif kepada penahanan bagi sesetengah individu yang menunggu perbicaraan, mempercepatkan proses mahkamah serta memudahkan urusan jaminan.

Selain itu, bandar raya itu akan melabur kira-kira AS$146 juta untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan mental, rawatan penyalahgunaan bahan terlarang serta program pendidikan dan latihan kemahiran.

Bagaimanapun, cadangan tersebut menerima kritikan daripada kesatuan pegawai penjara New York yang berpendapat pengurangan kapasiti tahanan boleh menjejaskan keselamatan awam jika pesalah serius dibebaskan lebih awal.

BBC melaporkan Majlis Bandaraya New York perlu meluluskan garis masa baharu itu sebelum rancangan penutupan Rikers Island dapat dilaksanakan sepenuhnya.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement