DUNIA
Ketegangan Asia Barat, tindakan tarif Trump bakal dominasi Sidang Kemuncak G7 di Kanada

Perdana Menteri Kanada Mark Carney telah membatalkan kenyataan penutup tradisional, menjangkakan tiada kata sepakat dalam suasana ketegangan global yang semakin meningkat. - AP
ISTANBUL: Pemimpin dunia kini berkumpul di Pergunungan Rockies, Kanada bagi menghadiri Sidang Kemuncak G7 yang dijangka dipengaruhi dua krisis utama - konflik yang semakin meruncing di Asia Barat dan ancaman dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump, lapor Anadolu Ajansi.
Sebagai tuan rumah, Perdana Menteri Kanada Mark Carney telah membatalkan kenyataan penutup tradisional, menjangkakan tiada kata sepakat dalam suasana ketegangan global yang semakin meningkat.
Sidang rasmi akan bermula Isnin, namun pemimpin seperti Perdana Menteri Britain Keir Starmer dan Presiden Perancis Emmanuel Macron telah tiba pada Ahad bagi perbincangan awal.
Sidang kali ini berlangsung dalam keadaan serba tidak menentu, susulan serangan Israel terhadap Iran dan tindakan balas dari Tehran yang mencetuskan kebimbangan di ibu negara seluruh dunia."Kami mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan diri, tetapi saya tegaskan bahawa situasi ini perlu diredakan," kata Starmer dalam perjalanan ke Kanada. "Risiko untuk konflik ini merebak ke seluruh rantau dan dunia amat besar."
Britain telah menghantar jet Tentera Udara Diraja (RAF) ke rantau itu dan sedang giat menjalankan diplomasi dengan Presiden Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Sementara itu, Macron singgah secara simbolik ke Greenland - satu sindiran terhadap kenyataan Trump sebelum ini yang mencadangkan agar AS membeli wilayah Artik itu.
Trump terus menjadi faktor tidak menentu dalam sidang kali ini.
Kenyataannya baru-baru ini tentang kemungkinan menjadikan Kanada sebagai "negeri ke-51" AS mencetuskan kemarahan di Ottawa dan tempat lain, walaupun Starmer enggan mengulas sama ada beliau telah menegur Trump secara langsung.
"Saya ingin jelaskan sepenuhnya: Kanada ialah negara berdaulat dan merdeka serta anggota Komanwel yang amat dihargai," katanya kepada Associated Press.
Meskipun pernah wujud ketegangan, hubungan antara Starmer dan Trump kekal mesra - kedua-dua pemimpin mencapai perjanjian perdagangan AS-UK pada Mei lalu untuk mengurangkan tarif ke atas kenderaan, aluminium dan keluli - walaupun perjanjian itu masih belum dikuatkuasakan.
Macron dan Starmer turut berusaha - namun setakat ini belum berjaya - mendapatkan sokongan AS untuk pelan keselamatan pascaperang di Ukraine.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dijangka hadir dan mengadakan pertemuan tertutup bersama Trump, susulan pertembungan tegang di Pejabat Oval awal tahun ini.
Menurut Peter Boehm, "sherpa" G7 Kanada pada 2018, para pemimpin dijangka mengalihkan fokus kepada isu-isu dasar luar yang semakin mendesak. "Agenda dasar luar kini semakin meluas," katanya.
Bekas Perdana Menteri Kanada Jean Chretien pula memberi nasihat sekiranya Trump bertindak di luar jangkaan: "Kalau Trump mahu mencuri perhatian dengan mencetuskan kekecohan, biarkan dia dan teruskan perbincangan seperti biasa."
Pemimpin dari India, Brazil, Ukraine, Afrika Selatan, Australia, Mexico, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut dijemput, namun tumpuan tetap terarah kepada mesyuarat dua hala melibatkan Trump, yang menurut pemerhati lebih disukainya berbanding sesi meja bulat rasmi.
"Trump lebih gemar pertemuan satu lawan satu berbanding sesi meja bulat," kata Boehm. "Pemimpin lain, termasuk yang baharu, pasti mahu bersemuka dengan Donald Trump."
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami