LABUAN: Cabaran Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2026 terus memperkukuh kedudukan Labuan sebagai destinasi pelancongan sukan yang kompetitif dengan kejayaannya menarik 5,082 peserta merangkumi 15 acara bagi tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, jumlah penyertaan itu menunjukkan peningkatan 108.88 peratus, berbanding 2,433 peserta yang direkodkan pada 2025.
Advertisement
Beliau berkata, penyertaan antarabangsa juga mencatat peningkatan ketara dengan peserta dari 11 negara mengambil bahagian dalam LISC 2026, berbanding tujuh negara pada tahun lepas.
“LISC 2026 bukan sekadar acara sukan laut tetapi membawa maksud lebih mendalam sebagai manifestasi kerjasama, semangat kesukanan serta platform untuk menonjolkan keunikan dan identiti Labuan,” katanya pada majlis penutupan LISC 2026, di sini, pada Ahad.
Beliau berkata, acara itu yang mula diperkenalkan pada 1997, telah mencatat pelbagai pencapaian dan detik bersejarah sepanjang penganjurannya, sekali gus menjadikan ia sebagai satu daripada acara pelancongan ikonik Labuan.
Bagi edisi tahun ini, beliau berkata, Cabaran Renang Rentas Selat yang diperkenalkan semula selepas tidak disenaraikan sebagai acara utama sejak tiga tahun lepas, telah menarik 103 peserta.
Lo berkata, kehadiran ramai peserta antarabangsa membuktikan Labuan terus relevan dan kompetitif sebagai destinasi pelancongan sukan.
“Kerajaan MADANI terus komited menyokong inisiatif yang mampu merangsang ekonomi tempatan serta meningkatkan imej Malaysia di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata, pulangan ekonomi daripada penganjuran acara ini adalah memberangsangkan, meliputi sektor perhotelan, pengangkutan awam, makanan dan minuman, jualan barangan dan perkhidmatan, promosi, publisiti serta pakej pelancongan.
Lo berkata, sasaran menarik 35,000 pengunjung sepanjang LISC 2026 juga berjaya dicapai.
Beliau berkatan, pada tahun lepas pertandingan memancing laut dalam merekodkan tangkapan ikan Marlin Hitam seberat 230 kilogram, manakala tahun ini jumlah jualan daripada lelongan ikan mencecah RM8,817.
“Laut tidak pernah menjanjikan air yang tenang, namun ia menjanjikan kepuasan kepada mereka yang berani menyahut cabaran…kepada para pemenang, tahniah…kejayaan anda hari ini adalah hasil disiplin dan latihan tanpa henti,” katanya.
Lo juga berharap inisiatif di bawah program Labuan 365 bersama kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 itu, dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pelancongan Labuan.
-- BERNAMA