WASHINGTON: Ketua Minoriti Senat Amerika Syarikat (AS), Chuck Schumer, menyelar Presiden Donald Trump berhubung konflik ketenteraan dengan Iran dan menyifatkan pendekatan pentadbirannya sebagai satu kegagalan besar.
Schumer mendakwa Trump telah mengheret AS ke dalam peperangan yang tidak sah selain gagal mengemukakan objektif, strategi serta pelan keluar yang jelas dalam menangani konflik di Asia Barat.
Beliau menyampaikan kritikan itu menerusi satu kenyataan yang disiarkan di platform media sosial X.
"Donald Trump telah mengheret kita ke dalam kancah perang yang tidak sah, sedang kalah dalam perang tidak sah ini, dan kini tiada jalan keluar daripada perang tidak sahnya," kata Schumer.
Donald Trump got us into an illegal war, is losing his illegal war, and has no way out of his illegal war.
His lack of strategy, discipline, and any ability to seriously negotiate is endangering our troops and raising prices for everyday Americans.
Trump’s leadership is a… https://t.co/yn41W4KQmO— Chuck Schumer (@SenSchumer) August 10, 2026
Ahli politik Parti Demokrat itu berkata pentadbiran Trump gagal mengendalikan konflik berkenaan dengan berkesan, selain tidak memberikan tumpuan mencukupi kepada usaha rundingan bagi menamatkan peperangan tersebut.
Menurut beliau, keadaan itu turut menjejaskan keselamatan anggota tentera AS yang bertugas.
Schumer juga berkata rakyat AS terpaksa menanggung kesan ekonomi susulan konflik berkenaan, termasuk peningkatan kos yang memberi tekanan kepada isi rumah.
Sehubungan itu, beliau menggesa pentadbiran Trump memperhebat usaha rundingan bagi menamatkan perang tersebut serta melaksanakan langkah pemulihan terhadap kesan yang timbul akibat konflik berkenaan.