Skip to main content

Malaysia

Kerajaan terbuka cadangan perluasan skop siasatan Lebuhraya Pan Borneo

Mustapha berkata kerajaan sentiasa terbuka terhadap cadangan berkenaan kerana dapatan atau hasil siasatan PAC kelak boleh dibentangkan di Parlimen untuk dinilai secara bersama oleh semua pihak. - Gambar Astro AWANI
Mustapha berkata kerajaan sentiasa terbuka terhadap cadangan berkenaan kerana dapatan atau hasil siasatan PAC kelak boleh dibentangkan di Parlimen untuk dinilai secara bersama oleh semua pihak. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan menyokong cadangan memperluas skop siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata kerajaan sentiasa terbuka terhadap cadangan berkenaan kerana dapatan atau hasil siasatan PAC kelak boleh dibentangkan di Parlimen untuk dinilai secara bersama oleh semua pihak.

“Kerajaan terbuka terhadap mana-mana (cadangan) yang perlu dibuat (termasuk) cadangan PAC untuk siasatan. Banyak perkara yang dibuat ini baik untuk negara.

Advertisement

“Kalau ada masalah, buat PAC (supaya) boleh dibentangkan di Parlimen untuk kita nilai bersama,” katanya selepas menjadi moderator pada forum sempena Festival Idea Putrajaya (FOI Putrajaya) 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah tujuh Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bercadang mengemukakan memorandum kepada PAC minggu depan bagi memohon skop siasatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah diperluas.

Advertisement

Ia termasuk meneliti asas dan implikasi keputusan penamatan model Rakan Pelaksana Projek pada 2019.

Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali sebelum ini berkata langkah itu penting bagi memastikan siasatan PAC bukan sahaja menumpukan pada status dan prestasi semasa projek berkenaan, malah turut meneliti keputusan dasar terdahulu yang didakwa memberikan kesan terhadap jadual pelaksanaan, pelantikan kontraktor serta peningkatan kos pembinaan.

Mustapha ketika mengulas mengenai penganjuran FOI Putrajaya mencadangkan acara itu diperluas ke semua universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kami mahu beri pencerahan dan pendedahan kepada mahasiswa kita, pelajar-pelajar kita, tentang teknologi-teknologi baharu ini. 

“Kami ingin menyediakan mereka untuk masa depan. Jadi, yang penting mereka ada pengetahuan, asas itu penting supaya mereka ada minat dan keupayaan untuk bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya. 

Beliau berkata pendedahan awal dan berterusan amat penting bagi membina keupayaan serta bakat tempatan agar pelajar institusi pengajian tinggi bersedia menghadapi cabaran teknologi masa depan.

Edisi ketiga FOI Putrajaya diadakan bermula hari ini sehingga 19 Nov di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dan penyelidikan, sekali gus mengangkat budaya ilmu sebagai asas kemajuan negara.

Dengan tema “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani” itu, FOI Putrajaya 2026 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menghimpunkan ahli akademik, pembuat dasar, pemain industri dan masyarakat bagi membincangkan hala tuju negara mendepani perubahan masa hadapan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement