MANILA: Donald Trump memuji kerjasama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand, tahun lalu.
Presiden Amerika Syarikat (AS) turut memberitahu, Malaysia merupakan antara negara yang memeterai perjanjian perdagangan dengan Washington, sejak beliau memegang jawatan itu.
Trump berkata, kerjasama dengan Anwar pada Sidang Kemuncak ASEAN tahun lalu berjaya menghasilkan perjanjian bersejarah yang membawa kepada gencatan senjata antara kedua-dua negara.
“Pada mesyuarat (Sidang Kemuncak) ASEAN tahun lalu di Malaysia, Anwar dan saya menjadi perantara kepada satu perjanjian damai bersejarah antara Kemboja dan Thailand, yang dikenali sebagai Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
“Kami berjaya menyelamatkan ribuan nyawa atau mungkin lebih ramai lagi,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak ASEAN di sini, pada Selasa.
Trump turut menegaskan komitmen Washington untuk mempertahankan gencatan senjata serta memastikan pelaksanaan penuh perjanjian berkenaan seperti yang dipersetujui setahun lalu.
“Kami kekal komited untuk mempertahankan gencatan senjata itu dan memastikan pelaksanaan penuh serta berkesan perjanjian berkenaan seperti yang dipersetujui setahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, Washington turut memeterai pelbagai perjanjian penting dengan negara di rantau ini merangkumi sektor tenaga, mineral kritikal dan teknologi.
“Sejak saya kembali memegang jawatan, kami telah memeterai perjanjian perdagangan utama dengan Malaysia, Kemboja dan Indonesia, selain Jepun, Korea Selatan serta hampir semua negara yang berada di meja ini,” katanya.
Trump turut menekankan kedudukan strategik Asia Tenggara dalam perdagangan antarabangsa, dengan kira-kira satu perempat daripada pergerakan perkapalan dunia melalui Selat Melaka.
Beliau berkata, AS komited memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara rakan di rantau ini, selain berharap kerjasama dalam bidang mineral kritikal, unsur nadir bumi dan magnet dapat dipertingkatkan.