Skip to main content

Malaysia

Kemenangan ke atas Yemen penutup manis Harimau Malaya bagi 2026 - Cheng Hoe

Cheng Hoe berkata kemenangan itu penting bagi memastikan Harimau Malaya terus mengekalkan momentum positif selepas tewas 0-2 kepada China dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada Sabtu lepas. - Gambar fail/Bernama
Cheng Hoe berkata kemenangan itu penting bagi memastikan Harimau Malaya terus mengekalkan momentum positif selepas tewas 0-2 kepada China dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada Sabtu lepas. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengendali interim skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe menyifatkan kemenangan 2-1 ke atas Yemen dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, China, hari ini sebagai penutup positif kempen skuad kebangsaan bagi 2026.

Beliau berkata kemenangan itu penting bagi memastikan Harimau Malaya terus mengekalkan momentum positif selepas tewas 0-2 kepada China dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada Sabtu lepas.

“Bagi saya sebagai jurulatih, ini satu kemenangan yang baik buat Harimau Malaya untuk tahun ini dan satu penutup tirai 2026 dengan kemenangan.

Advertisement

“Walaupun kita dibolosi pada saat-saat akhir dan sedikit sebanyak perkara itu boleh menjejaskan keyakinan pemain, namun apa yang penting kita dapat mengekalkan momentum kemenangan,” katanya menerusi rakaman audio yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas perlawanan itu.

Mengulas prestasi keseluruhan skuad kebangsaan dalam kedua-dua perlawanan berkenaan, Cheng Hoe berpuas hati dengan komitmen dipamerkan barisan pemain meskipun beberapa muka baharu masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan dan pendekatan taktikal pasukan.

Advertisement

Menurutnya, kesungguhan pemain memberikan persembahan terbaik serta semangat kerjasama berpasukan merupakan antara aspek positif yang dapat dilihat sepanjang dua aksi antarabangsa itu.

Sementara itu, Cheng Hoe turut memuji persembahan pemain muda Richard Chin yang dianggap antara aset penting Harimau Malaya berikutan keupayaannya beraksi di kedua-dua bahagian sayap.

Beliau berkata kemampuan Richard beraksi di posisi kanan dan kiri memberikan lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan, selain pemain itu masih mempunyai ruang untuk meningkatkan prestasi individu serta pemahaman taktikalnya.

“Prestasi Richard memberikan gambaran kepada saya bahawa beliau adalah sebahagian daripada aset pasukan. Dia boleh bermain di sebelah kanan dan kiri, dan itu satu kelebihan buat pasukan negara.

“Dia masih muda dan masih boleh berkembang dari segi prestasi individu serta pemahaman taktikal,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement