Ketua Majlis Kebangsaan Palestin desak penempatan pasukan antarabangsa bagi lindungi penduduk Gaza

Kerajaan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah terhadap kemanusiaan ini. - Foto fail/AP
RAMALLAH: Presiden Majlis Kebangsaan Palestin pada Sabtu menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera untuk menempatkan pasukan antarabangsa di Gaza bagi melindungi orang awam, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan susulan insiden pembunuhan beramai-ramai oleh Israel terhadap sebuah keluarga Palestin, Rawhi Fattouh berkata tentera Israel pada Jumaat menyasarkan sebuah kenderaan awam yang membawa 11 orang di kejiranan Al-Zaytoun, Bandar Gaza tanpa sebarang amaran selepas kenderaan itu melintasi "garisan kuning".
Beliau berkata pembunuhan itu adalah sebahagian daripada dasar berterusan Israel untuk membunuh dan memusnahkan, sambil menyifatkannya sebagai "jenayah dan cerminan dasar sistematik yang diamalkan penjajah terhadap rakyat Palestin."
"Jenayah ini bukan tindakan terpencil, tetapi sebahagian daripada pola berterusan pembunuhan dan kemusnahan yang berlaku di tengah-tengah kegagalan jelas masyarakat antarabangsa untuk menuntut pertanggungjawaban pelaku," kata Fattouh.Beliau menegaskan kerajaan Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah terhadap kemanusiaan ini dan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil langkah segera untuk menempatkan pasukan antarabangsa bagi memberikan perlindungan kepada rakyat Palestin.
Fattouh turut menyeru kuasa-kuasa dunia dan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) supaya memastikan gencatan senjata dikekalkan serta menyalurkan makanan, tempat perlindungan dan rawatan perubatan kepada rakyat Palestin selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia.
Beliau berkata alasan Israel yang mengebom kenderaan itu dengan mendakwa ia menghampiri "garisan kuning" merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan bukti tambahan terhadap penghinaan Israel terhadap nilai kemanusiaan dan konvensyen antarabangsa yang melarang serangan terhadap orang awam.
"Garisan kuning" ialah sempadan tidak rasmi yang memisahkan kawasan penempatan tentera Israel daripada kawasan pergerakan penduduk Palestin di dalam Gaza.
Perjanjian gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang dimeterai melalui perantaraan serta dilaksanakan pada 10 Okt menetapkan pengunduran separa tentera Israel dari beberapa kawasan di Gaza ke kedudukan baharu yang dikenali sebagai "garisan kuning."
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami