Skip to main content

Dunia

Presiden FA Iran Mehdi Taj tidak dibenarkan masuk ke Kanada

X @GolBezan
Portal Iran International melaporkan yang Taj (gambar) diberikan visa pada Isnin, namun ia dibatalkan keesokan harinya kerana kaitannya dengan IRGC. - Foto X GolBezan

LOS ANGELES: Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran Mehdi Taj tidak dibenarkan masuk ke Kanada bagi menghadiri Kongres FIFA dan mesyuarat lain di Vancouver, menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik agensi berita Iran, Tasnim.

Agensi berita Tasnim mengesahkan yang Taj dan dua pegawai Persatuan Bola Sepak Iran lain menghadapi “perlakuan tidak wajar oleh pegawai imigresen” apabila mereka dihantar pulang di Lapangan Terbang Toronto dan kemudian memutuskan untuk pulang ke negara asal.

Advertisement

Portal Iran International melaporkan yang Taj diberikan visa pada Isnin, namun ia dibatalkan keesokan harinya kerana kaitannya dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), yang diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas di Kanada. Taj dilaporkan pernah menjadi anggota IRGC.

Menteri Luar Kanada Anita Anand dipetik berkata pemahaman beliau ialah penolakan kemasukan itu adalah “tidak disengajakan”.

Kementerian imigresen pula berkata ia tidak akan mengulas kes individu, namun menjelaskan secara umum yang “pegawai IRGC tidak dibenarkan masuk ke Kanada dan tidak mempunyai tempat di negara ini”.

Kongres FIFA dijadualkan berlangsung pada Khamis di Vancouver, yang turut menjadi antara bandar tuan rumah Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada dari 11 Jun hingga 19 Julai.

Iran layak ke kejohanan itu dan dijadualkan menentang New Zealand, Belgium dan Mesir dalam peringkat kumpulan di Los Angeles dan Seattle. Taj sebelum ini juga ditolak visa kemasukannya ke Amerika Syarikat bagi menghadiri undian kumpulan di Washington pada Disember lepas.

Masih belum jelas sama ada Iran akan menyertai kejohanan itu, berikutan perang dengan Amerika Syarikat dan Israel yang bermula pada 28 Februari.

--BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video