Skip to main content

Malaysia

Kementerian Luar kumpul maklumat rakyat Malaysia dalam Flotila Sumud Global yang dipintas

KUALA LUMPUR, 30 April -- Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby ketika sidang media khas mengenai perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 di SNCC hari ini.  SNCC mengesahkan enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza, melibatkan 10 rakyat Malaysia.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sani Araby ketika sidang media khas mengenai perkembangan terkini Misi Global Sumud Flotilla 2026 di SNCC, Kuala lumpur, 30 April 2026. --fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Luar sedang memantau rapi situasi dan aktif mengumpul maklumat mengenai keadaan serta keselamatan semua rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Flotila Sumud Global (GSF), susulan tindakan tentera Israel memintas kapal berkenaan di perairan antarabangsa pada 29 April.

Kementerian dalam satu kenyataan pada Khamis mengecam sekeras-kerasnya provokasi serta pemintasan menyalahi undang-undang itu dan menuntut pihak tentera menghentikan segera segala bentuk gangguan terhadap misi kemanusiaan berkenaan bagi memastikan penghantaran bantuan yang selamat tanpa halangan, selain menjamin keselamatan semua aktivis antarabangsa yang terlibat.

Advertisement

"Malaysia menegaskan bahawa GSF adalah inisiatif kemanusiaan aman yang bertujuan menghantar bekalan perubatan penting dan makanan bagi membantu menstabilkan sistem penjagaan kesihatan yang musnah, serta memberikan bantuan kepada penduduk yang menghadapi genosid dan kebuluran di Gaza," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan tentera menyekat dan memintas beberapa kapal kemanusiaan merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang maritim antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ia turut menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas bagi memastikan rejim Israel bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan.

Malaysia juga mengulangi komitmen tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Menurut laporan, 10 aktivis kemanusiaan Malaysia adalah antara 186 aktivis yang menaiki 22 kapal di bawah misi GSF 2.0 yang telah dipintas dan dinaiki oleh tentera Israel ketika dalam pelayaran ke Gaza.

Setakat waktu laporan ini ditulis, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan bahawa keberadaan 10 rakyat Malaysia yang terlibat masih belum diketahui.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video