Skip to main content

Dunia

Ketua PBB gesa tadbir urus AI global yang inklusif

UN Secretary-General Antonio Guterres speaks during the opening ceremony of the High-Level Meeting on Global AI Governance for the World AI Conference in Shanghai, China, July 17, 2026. Ng Han Guan/Pool via REUTERS
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Jumaat menggesa tadbir urus global bagi kecerdasan buatan (AI) yang bersifat inklusif, dengan menegaskan bahawa teknologi itu perlu dibentuk oleh semua negara, bukannya hanya segelintir kerajaan atau syarikat. - Foto Ng Han Guan/Pool via REUTERS
Advertisement

ANKARA: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Jumaat menggesa tadbir urus global bagi kecerdasan buatan (AI) yang bersifat inklusif, dengan menegaskan bahawa teknologi itu perlu dibentuk oleh semua negara, bukannya hanya segelintir kerajaan atau syarikat, lapor Anadolu Ajansi.

Berucap pada majlis pembukaan Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia di Shanghai, Guterres menyifatkan AI sebagai "peluang terbesar umat manusia pada abad ke-21", namun mengingatkan bahawa teknologi itu juga berpotensi menjadi "antara risiko terbesar" kepada manusia.

"Teknologi yang akan membentuk masa depan manusia perlu dibentuk oleh seluruh umat manusia," katanya sambil menegaskan bahawa AI "tidak boleh ditadbir oleh segelintir negara atau syarikat" dan "setiap negara perlu diberi tempat di meja rundingan".

Guterres berkata PBB telah memperluaskan usaha berkaitan tadbir urus AI susulan penerimaan Global Digital Compact serta penubuhan Panel Saintifik Antarabangsa Bebas Mengenai AI yang disokong Perhimpunan Agung PBB.

Beliau berkata fasa seterusnya perlu memberi tumpuan kepada pelaksanaan komitmen dalam bentuk sokongan praktikal supaya semua negara dapat menikmati manfaat pembangunan AI.

Sambil menekankan potensi AI dalam memajukan sektor penjagaan kesihatan, pendidikan, sistem makanan dan pekerjaan, Guterres memberi amaran bahawa banyak negara membangun masih berisiko tercicir daripada arus pembangunan teknologi itu.

"Sepertiga daripada umat manusia masih belum mempunyai akses kepada Internet," katanya sambil menambah bahawa kuasa pengkomputeran, kepakaran teknikal dan pelaburan masih tertumpu di sebilangan kecil negara serta syarikat.

Tanpa usaha menangani jurang berkenaan, AI boleh mengakibatkan "ketidaksamaan yang lebih besar, jurang pendapatan yang lebih luas, peluang yang tidak seimbang serta ketidaksamaan dari segi keselamatan, katanya."

Guterres berkata beliau akan membentangkan cadangan mengenai penubuhan dana global bagi AI dalam masa terdekat dan menggesa kerajaan menyokong inisiatif itu bersama Rangkaian Global bagi Pertukaran dan Kerjasama Mengenai Pembinaan Keupayaan AI yang disokong PBB.

Beliau turut menggariskan tiga keutamaan dalam tadbir urus AI global, iaitu memperkukuh keupayaan AI di negara membangun, mewujudkan piawaian keselamatan antarabangsa, serta meningkatkan kelestarian alam sekitar.

"Tiada sistem AI sepatutnya diperkenalkan kepada kanak-kanak sebelum keselamatannya dibuktikan," katanya.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement