MOSCOW: Ketua Pembangkang Rusia, Alexei Navalny disahkan meninggal dunia di penjara Arkitik pada Jumaat.

Perkhidmatan penjara Rusia mengesahkan kematian Navalny yang sedang menjalani hukuman selama 19 tahun.

"Navalny berasa tidak sedap badan ketika berjalan, sebelum rebah. Pasukan perubatan kemudiannya tiba bersama ambulans.

"Usaha menyelamatkannya dilakukan pasukan perubatan namun gagal sebelum beliau disahkan meninggal dunia," katanya.

Setiausaha Akhbar Navalny, Kira Yarmysh pula mendakwa pihaknya tidak dimaklumkan mengenai pemergian ketua pembangkang itu.

"Peguam Navalny kini dalam perjalanan ke penjara di Kharp," katanya menerusi media sosial.

Agensi berita Rusia sebelum ini melaporkan Presiden Vladimir Putin sudah diberitahu mengenai kematian Navalny.

Sementara itu, Jawatankuasa Siasatan Rusia mengumumkan mereka membuka kertas siasatan ke atas kematian Navalny.

Navalny, 47, merupakan pemimpin pembangkang yang sering melontarkan kritikan terhadap amalan rasuah di bawah pentadbiran Putin.

Pendedahan yang dibuatnya mendapat jutaan tontonan di YouTube dan berjaya menarik puluhan ribu rakyat Rusia ke jalan raya biarpun terpaksa berdepan undang-undang anti protes yang tegas.

Navalny yang mempunyai ramai pengikut itu dipenjarakan pada awal 2021 selepas kembali ke Rusia dari Jerman.

Beliau sebelum itu dilaporkan pulih daripada serangan racun Novichok, sejenis racun saraf era Soviet yang hampir meragut nyawanya.

Navalny kemudiannya dihukum penjara 19 tahun, suatu tindakan yang mendapat kecaman kumpulan hak asasi manusia dan di Barat kerana hukuman itu dianggap sebagai pembalasan atas penentangannya terhadap Kremlin.

Akhir tahun lalu, beliau dipindahkan ke sebuah penjara di kawasan Yamalo-Nenets di Siberia utara Rusia.