SAN FRANCISCO: Syarikat permulaan kecerdasan buatan (AI) Anthropic mendedahkan model AI miliknya, Claude, kini menghasilkan lebih 80 peratus kod pengaturcaraan baharu yang digunakan dalam sistem produksi syarikat itu.
Menurut laporan terbaharu oleh unit penyelidikannya, Anthropic Institute, penggunaan model AI tersebut telah meningkatkan produktiviti jurutera secara ketara, dengan hasil kerja meningkat sehingga lapan kali ganda berbanding data asas tahun-tahun sebelumnya.
Peningkatan ini didorong oleh keupayaan ejen AI yang kini mampu menulis keseluruhan fail kod, menjalankan ujian program serta melaksanakan tugasan teknikal yang kompleks secara lebih autonomi.
Data dalaman turut menunjukkan keupayaan ejen tersebut terus berkembang, termasuk kebolehan menyelesaikan tugasan secara berterusan sehingga 12 jam tanpa henti.
Bagaimanapun, perkembangan pesat ini turut mencetuskan kebimbangan berkaitan risiko 'recursive self-improvement', iaitu keadaan di mana model AI berupaya membina dan menambah baik sistem penggantinya tanpa campur tangan manusia.
Sehubungan itu, Anthropic menggesa supaya mekanisme kawalan global diwujudkan bagi membolehkan pembangunan model AI canggih dihentikan sementara secara serentak sekiranya risiko kehilangan kawalan dikenal pasti.