ISTANBUL: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth pada Rabu menggesa supaya satu rangka kerja kerjasama pertahanan yang "bercita-cita tinggi" diwujudkan bersama Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang dianggotai 11 negara, lapor Anadolu Ajansi.
Menyifatkan ulang tahun ke-50 hubungan AS-ASEAN pada tahun depan sebagai "pencapaian penting", Hegseth memberitahu menteri-menteri pertahanan ASEAN yang menghadiri mesyuarat itu bahawa kedua-dua pihak perlu memanfaatkan kesempatan berkenaan untuk memperkukuh kerjasama.
"Sempena pencapaian penting ini, kami mencadangkan supaya kita bekerjasama membangunkan rangka kerja kerjasama pertahanan AS-ASEAN, iaitu rangka kerja praktikal yang akan menjadi panduan kepada kerjasama kita sepanjang beberapa tahun akan datang," katanya.
Beliau menekankan bahawa beberapa tahun akan datang merupakan tempoh yang amat penting ketika berucap pada mesyuarat bersama menteri-menteri pertahanan blok 11 negara itu di Bandaraya Cebu, Filipina, yang kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN.
"Pendekatan yang kami ambil boleh digambarkan sebagai tegas, tenang dan jelas. Cukup tegas untuk menghalang paksaan dan pencerobohan, cukup tenang untuk mengelakkan peningkatan ketegangan yang tidak perlu atau tindakan menunjuk-nunjuk di khalayak ramai, serta membiarkan tindakan kami membuktikan pendirian kami," kata Hegseth.
Kenyataan itu dibuat ketika rakan sejawatnya dari China, Dong Jun, tidak menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) tahun ini.
Sebaliknya, Beijing menghantar atase tenteranya di Kedutaan China di Manila untuk mewakili negara itu pada mesyuarat berkenaan.
"Kita tidak semestinya bersetuju dalam semua perkara dan kita juga tidak perlu berbuat demikian," kata Hegseth kepada rakan sejawatnya dari ASEAN.
"Namun, persetujuan mengenai perkara asas sudah memadai untuk menyokong kerjasama praktikal dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama yang jelas dan seiring."
Hegseth berkata AS akan bekerjasama dengan Singapura, yang bakal mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, bagi membangunkan rangka kerja kerjasama pertahanan yang dicadangkan itu.
"Ketika kita melihat masa depan rantau ini, saya mahu kita menetapkan cita-cita yang lebih tinggi," katanya.
Mesyuarat di Bandaraya Cebu itu merangkumi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-20 dan ADMM-Plus ke-13, yang turut menghimpunkan menteri-menteri pertahanan China, Korea Selatan, Jepun, Australia dan India, walaupun China tidak menghantar menteri pertahanannya tahun ini.
-- BERNAMA-ANADOLU