KUALA LUMPUR: Lebih 580,000 halaman daripada 4,840 judul manuskrip Melayu telah didigitalkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) setakat September tahun ini, sebagai usaha memelihara khazanah persuratan negara.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata koleksi manuskrip Melayu di PNM kini berjumlah 5,405 naskhah, dengan usaha pemeliharaan warisan bertulis turut merangkumi pendigitalan bahan arkib, pendokumentasian dan penerbitan bahan sejarah.
“Khazanah ini diketengahkan melalui pameran transliterasi tulisan Jawi lama kepada Rumi dan penceritaan digital.
“Seiring dengan perkembangan teknologi, kementerian menyambut baik cadangan untuk meneroka kerjasama strategik antara PNM dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membangunkan kandungan pembelajaran Jawi secara imersif berasaskan pedoman ejaan Jawi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian berhubung cadangan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) supaya pendigitalan manuskrip diperkasakan dan kefahaman masyarakat terhadap pembentukan negara perlu ditingkatkan, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) peringkat dasar bagi kementerian itu.
Terdahulu, Aaron berkata kementerian melalui PNM juga melaksanakan program Pembudayaan Tulisan Jawi sejak 2022 yang merekodkan 565,000 penyertaan setakat September 2026, selain turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records pada Festival Seni Kaligrafi dan Seni Motif Perpaduan atas penglibatan peserta yang ramai.
Program itu, yang bermula di Sabah pada 2025, mengangkat seni kaligrafi sebagai medium interaksi dan perpaduan antara kaum.
Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) mencadangkan supaya buku tentang kehidupan dan sumbangan tokoh negarawan, khususnya Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, diterbitkan dan diedarkan ke sekolah bagi mendidik generasi muda mengenai perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Menjawab cadangan itu, Aaron berkata kementerian telah menerbitkan pelbagai risalah dan buku, manakala penerbitan yang memberikan tumpuan khusus kepada tokoh negarawan akan dilaksanakan pada masa akan datang.
Sebelum penggulungan berakhir, Timbalan Speaker Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor berkata pindaan kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan mungkin boleh dipertimbangkan bagi memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan negara.
Beliau berkata penelitian juga boleh dilakukan terhadap Perkara 161 berkaitan perlindungan khas kepada Sabah dan Sarawak berhubung penggunaan bahasa Inggeris, bagi memperkukuh penggunaan bahasa Melayu di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
“Jika kita total hendak menyatukan dari segi bahasa Melayu, saya percaya dengan lulusnya Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang berkuat kuasa 1 Okt, mungkin boleh dipertimbangkan pindaan kepada Perkara 152 termasuk 161 yang memberikan perlindungan khas kepada Sabah dan Sarawak dalam penggunaan bahasa Inggeris,” katanya.
-- BERNAMA