IDLIB: Mangsa perang di Syria di desa Kreyme daerah Hama menarik nafas lega apabila menerima sumbangan 34 tangki air daripada Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) Malaysia, pada Rabu.
Wakil penduduk Abdul Karim Ali Mohamad berkata, sebelum ini penduduk harus menanggung kos sebanyak AS$2.5 untuk mendapatkan 1,000 liter air di mana kadar penggunaan adalah bergantung kepada jumlah penggunanya.
Advertisement
Beliau turut berharap agar sumbangan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana terdapat 291 keluarga di desa yang berada dalam kesusahan akibat kesan perang saudara lebih sedekad.
“Kami berharap anda dapat membantu penduduk di desa ini. Lihatlah betapa teruknya kampung ini dan bagaimana keadaan penduduknya.
"Kebanyakan keluarga menggunakan air yang hanya mencukupi untuk dua hari sahaja, dengan nilai 40,000 Pound Syria,” katanya kepada Astro AWANI pada majlis penyerahan tangki tersebut di sini.
Apa yang menarik pada misi kali ini adalah apabila nama-nama dermawan dari Malaysia turut dilekatkan pada tangki sebagai tanda sumbangan mereka kepada warga Syria.
Pengerusi misi KHOM Malaysia Nik Marina Datuk Hussin berkata tangki tersebut juga lengkap dengan penutup serta pili air untuk memastikan tiada pencemaran.
Tambahnya, mangsa perang juga telah lama terdedah dengan pencemaran air yang telah memberi kesan kepada kesihatan mereka.
“Mereka hidup di dalam khemah atau rumah-rumah yang tidak berbumbung. Apabila ada penutup tangki ini, sekurang-kurangnya habuk tidak dapat masuk.
"Jadi, kita bukan sahaja memberi mereka air namun ia adalah air yang bersih,” kata Nik Marina.
Walaupun majlis tersebut berjalan dalam keadaan hujan renyai, orang ramai tetap hadir untuk menyaksikan serahan dilakukan antara KHOM Malaysia dan para penduduk.
KHOM Malaysia turut menyumbang tiga buah tandas kepada penduduk yang sebelum ini perlu berkongsi kemudahan itu untuk melakukan urusan harian mereka.
Pada masa sama, tinjauan turut menyaksikan beberapa buah rumah masih rosak teruk akibat dibedil roket oleh pihak tentera rejim bekas Presiden Bashar Al-Assad ketika perang memuncak sekitar 2023 hingga 2024.
Sejak Ahad lalu, KHOM Malaysia telah melaksanakan misi bantuan kemanusiaan untuk warga pelarian Palestin di Lubnan dan kini meneruskan misi talian hayat musim sejuk di Syria yang terkesan akibat konflik.
Untuk rekod, Syria kini di bawah pentadbiran kerajaan baharu yang dipimpin oleh Presiden Ahmad al-Sharaa sejak Disember 2024.