Skip to main content

Dunia

Kim Jong Un umum pelan bina armada laut nuklear, kapal perang 10,000 tan

North Korean leader Kim Jong Un salutes during the commissioning ceremony of the new multipurpose destroyer Choe Hyon at Nampho port, North Korea, June 23, 2026, in this picture released by North Korea's official Korean Central News Agency. KCNA via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY. REUTERS IS UNABLE TO INDEPENDENTLY VERIFY THIS IMAGE. NO THIRD PARTY SALES. SOUTH KOREA OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN SOUTH KOREA. TPX IMAGES OF THE DAY
Kim Jong Un memberi tabik hormat semasa majlis pentauliahan kapal pemusnah Choe Hyon di Nampho, Korea Utara, pada Selasa. - Gambar Reuters
Advertisement

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berkata, negara itu akan melengkapkan angkatan lautnya dengan senjata nuklear serta membina kapal perang berskala lebih besar, menurut laporan media kerajaan pada Rabu, ketika Pyongyang terus memperkukuh keupayaan ketenteraan.

Korea Utara yang berdepan pelbagai sekatan antarabangsa susulan program nuklearnya berulang kali menegaskan tidak akan meninggalkan pembangunan senjata tersebut, selain menganggapnya sebagai elemen penting bagi mengekang ancaman daripada Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Kenyataan Kim dibuat sempena majlis pentauliahan kapal perang Choe Hyon - sebuah daripada dua buah kapal kelas 5,000 tan yang dilancarkan tahun lalu di bandar pelabuhan Nampho pada Selasa.

“Program melengkapkan angkatan laut dengan senjata nuklear sedang berjalan mengikut perancangan,” katanya.

Menurut beliau, langkah itu merupakan strategi penting bagi memastikan keupayaan nuklear negara sentiasa bersedia untuk pelbagai bentuk operasi yang berkesan.

Sebelum ini, Korea Utara menyatakan kapal Choe Hyon dilengkapi “senjata paling berkuasa” dan Kim turut melakukan beberapa pemeriksaan terhadap kapal dalam kelas sama tahun ini, termasuk menyelia ujian peluru berpandu krus pada April.

Dalam ucapannya, Kim berkata, selepas Choe Hyon, kapal pemusnah Kang Kon akan ditauliahkan untuk operasi dalam masa terdekat, sebelum pelancaran kapal perang strategik 10,000 tan secara berperingkat.

Beliau turut menggariskan sasaran untuk membina sekurang-kurangnya dua buah kapal permukaan setiap tahun yang lebih canggih berbanding Choe Hyon, termasuk kapal jenis cruiser seberat 10,000 tan.

Pyongyang sebelum ini mengisytiharkan diri sebagai negara nuklear yang “tidak boleh diubah”, susulan kegagalan sidang kemuncak antara Kim dan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Donald Trump, di Hanoi pada 2019 berhubung isu nyah-nuklear dan pelonggaran sekatan.

Secara teknikal, Korea Utara masih berperang dengan Korea Selatan berikutan konflik 1950-1953 yang hanya berakhir dengan gencatan senjata, tanpa perjanjian damai rasmi.

Imej yang dikongsi agensi berita KCNA menunjukkan Kim memberi tabik hormat kepada kapal Choe Hyon serta menyampaikan ucapan di atas kapal berkenaan ketika majlis pentauliahan.

Pakar Korea Utara dari Universiti Kyungnam, Lim Eul-chul, berkata, langkah itu dilihat sebagai usaha utama untuk mengekang pengaruh Amerika Syarikat, sekutu utama keselamatan Korea Selatan.

Menurutnya, Pyongyang melihat pembangunan senjata tersebut sebagai cara meningkatkan keupayaan menahan atau menghalang campur tangan ketenteraan Amerika Syarikat di Semenanjung Korea sekiranya berlaku konflik.

Beliau menambah, penggunaan peluru berpandu krus dilancarkan dari kapal yang dilengkapi kepala peledak nuklear taktikal berpotensi meningkatkan tekanan terhadap keupayaan pertahanan Korea Selatan dan Amerika Syarikat, sekali gus menaikkan kos pertahanan kedua-dua negara.

Pengumuman itu dibuat selepas Kim menggunakan mesyuarat penting parti pemerintah untuk mempercepatkan pemodenan ketenteraan, sambil menuduh Korea Selatan dan Amerika Syarikat semakin mendorong Semenanjung Korea ke ambang perang nuklear.

Ketika ini, kira-kira 28,500 anggota tentera Amerika Syarikat ditempatkan di Korea Selatan bagi membantu mempertahankan negara itu daripada ancaman ketenteraan Pyongyang. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement