Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Manila dari Ahad hingga Rabu depan.
- Sembilan isu utama termasuk krisis Myanmar, ketegangan Laut China Selatan, keselamatan ekonomi, jenayah rentas sempadan dan kebajikan pekerja migran akan menjadi tumpuan perbincangan.
- Penyertaan Malaysia penting bagi memastikan kepentingan negara terpelihara ketika rantau berdepan cabaran keselamatan, ekonomi dan geopolitik yang semakin kompleks.
MANILA: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Manila, Filipina, bakal menjadi medan penting bagi Malaysia memperkukuh kerjasama serantau, selain menangani pelbagai cabaran keselamatan, ekonomi dan geopolitik yang semakin kompleks.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan yang berlangsung dari Ahad hingga Rabu depan.
Penyertaan Malaysia pada peringkat tertinggi ini penting bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara, terutama ketika rantau Asia Tenggara berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.
Sembilan isu utama dijangka menjadi tumpuan pemimpin ASEAN pada sidang kemuncak kali ini.
1. Krisis Myanmar
Keberkesanan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara atau Five Point Consensus (5PC) terus menjadi persoalan utama memandangkan konflik di negara itu masih berlarutan, selain krisis kemanusiaan yang belum menunjukkan penyelesaian menyeluruh.
Persoalannya, apakah pendekatan baharu yang boleh dicapai ASEAN bagi memastikan usaha ke arah keamanan dan penyelesaian politik lebih inklusif dapat direalisasikan?
2. Ketegangan di Laut China Selatan
Rundingan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan antara ASEAN dan China dijangka terus menjadi fokus dalam usaha memperkukuh keselamatan maritim dan kestabilan serantau.
Dalam masa sama, cadangan penubuhan Pusat Maritim ASEAN juga menjadi antara perkara penting bagi memperkukuh penyelarasan dan kerjasama dalam menangani isu keselamatan maritim serantau.
3. Persaingan Kuasa Besar
Dengan kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta Perdana Menteri China, Li Qiang, perhatian pastinya terarah kepada bagaimana ASEAN mengimbangi hubungan dengan Washington dan Beijing tanpa menjejaskan kesatuan serta prinsip kepusatan ASEAN.
Dalam masa sama, Perdana Menteri India, Narendra Modi turut dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-India Ke-23 dan Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-21.
Kehadiran pemimpin tiga kuasa ekonomi utama dunia itu dijangka menumpukan perhatian kepada usaha ASEAN memperkukuh kerjasama strategik, perdagangan, keselamatan maritim dan teknologi ketika landskap geopolitik global terus berubah.
4. Ketegangan Thailand-Kemboja
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja, khususnya berhubung pertikaian sempadan, turut menguji keupayaan ASEAN mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.
Walaupun usaha gencatan senjata telah dilaksanakan, perkembangan di kawasan sempadan masih memerlukan perhatian bagi mengelakkan konflik kembali memuncak.
Persoalannya, sejauh mana ASEAN mampu memainkan peranan diplomatik dalam memastikan komitmen terhadap keamanan dan penyelesaian secara rundingan terus dipatuhi?
5. Keselamatan Ekonomi, Tenaga dan Makanan
Ketidaktentuan geopolitik global, termasuk konflik di Asia Barat, memberi tekanan kepada bekalan tenaga, harga minyak dan rantaian bekalan.
Dalam masa sama, keselamatan makanan turut menjadi keutamaan bagi memastikan bekalan makanan kekal stabil dan mampu diakses rakyat di seluruh rantau ini.
Justeru, kerjasama ASEAN diperlukan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serantau, termasuk meneroka mekanisme perkongsian tenaga ketika berlaku gangguan rantaian bekalan global.
6. Jenayah rentas sempadan dan penipuan dalam talian
Ancaman sindiket penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia dan jenayah siber semakin merentasi sempadan negara.
Perkembangan teknologi turut memberi ruang kepada sindiket jenayah menggunakan kaedah lebih kompleks untuk memperdaya mangsa dan memindahkan hasil kegiatan haram.
Justeru, perkongsian risikan, penyelarasan penguatkuasaan dan kerjasama antara negara anggota ASEAN penting bagi membanteras rangkaian jenayah berkenaan.
7. Kecerdasan buatan dan ekonomi digital
ASEAN berdepan keperluan untuk memanfaatkan teknologi baharu bagi meningkatkan daya saing ekonomi dan produktiviti rantau ini.
Namun, kerjasama serantau turut diperlukan bagi memastikan penggunaan kecerdasan buatan atau AI dilaksanakan secara bertanggungjawab, termasuk dari aspek keselamatan siber, perlindungan data dan pembangunan bakat digital.
Isu ini turut berkait dengan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang dijangka menjadi antara perkembangan penting dalam usaha mempercepat integrasi ekonomi digital rantau ini.
8. Jerebu rentas sempadan
Isu jerebu rentas sempadan kembali menjadi perhatian susulan kebakaran hutan dan tanah yang menjejaskan kualiti udara beberapa negara Asia Tenggara.
Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan awam, malah turut menjejaskan aktiviti ekonomi dan kehidupan harian masyarakat.
Persoalannya, sejauh mana negara anggota ASEAN mampu memperkukuh kerjasama dalam pencegahan kebakaran, pemantauan kawasan berisiko serta pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Rentas Sempadan bagi memastikan masalah sama tidak terus berulang?
9. Kebajikan dan perlindungan pekerja migran
Perlindungan hak serta kebajikan pekerja migran turut menjadi antara perkara yang memerlukan perhatian ASEAN.
Ini termasuk isu eksploitasi tenaga kerja, pemerdagangan manusia, keselamatan pekerjaan dan akses kepada perlindungan undang-undang.
Isu ini penting kepada Malaysia memandangkan negara merupakan antara destinasi utama pekerja migran di Asia Tenggara.
Bagi Malaysia, kesemua isu ini mempunyai implikasi langsung terhadap kepentingan negara, sama ada dari sudut keselamatan, hubungan diplomatik, pertumbuhan ekonomi mahupun kesejahteraan rakyat.
Justeru, persoalan utama bukan lagi isu yang akan dibincangkan pemimpin ASEAN, sebaliknya sejauh mana sidang kemuncak kali ini mampu menghasilkan tindakan konkrit bagi menangani cabaran yang dihadapi rantau ini.