Skip to main content

Dunia

Kim Jong Un umum sasaran ketenteraan baharu menjelang kongres parti

North Korean leader Kim Jong Un presides over the completion ceremony of a new housing district in Pyongyang for families of troops who died in overseas military operations, state media KCNA said, in this picture released by North Korea's official Korean Central News Agency, on Feb 16, 2026. (File photo: Reuters/KCNA)
Kim Jong Un giat menonjolkan kemajuan pelbagai projek menjelang Kongres Kesembilan bulan ini — perhimpunan politik terbesar negara itu yang menilai prestasi, menetapkan dasar baharu dan berpotensi membawa perubahan kepimpinan. - Gambar Reuters

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berkata, sasaran baharu dalam bidang ketenteraan dan pembinaan akan ditetapkan pada kongres parti utama bulan ini, lapor media rasmi KCNA pada Khamis (19 Feb).

Menurut laporan itu, Kim menghadiri satu majlis pada Rabu bagi menandakan penyerahan pelancar roket berkaliber 600mm kepada Kongres Kesembilan Parti Pekerja yang memerintah. 

Advertisement

Sebanyak 50 pelancar roket tersebut disumbangkan oleh pekerja industri persenjataan Korea Utara.

Majlis itu berlangsung pada hari sama dengan acara pecah tanah bagi projek pembinaan baharu di Daerah Hwasong, Pyongyang.

Kim berkata, pelancar roket berkaliber besar itu mempunyai “hampir tiada perbezaan dengan peluru berpandu balistik berketepatan tinggi dari segi ketepatan dan kuasa,” serta “sesuai untuk serangan khas yang melibatkan misi strategik.” 

Beliau turut menyatakan pelancar itu menggabungkan “teknologi AI dan sistem panduan komposit.”

Rujukan Kim kepada “misi strategik” dilihat sebagai merujuk kepada kemampuan pelancar itu melaksanakan serangan nuklear, menurut agensi berita Yonhap.

Pemimpin Korea Utara itu juga giat menonjolkan kemajuan pelbagai projek menjelang Kongres Kesembilan bulan ini — perhimpunan politik terbesar negara itu yang menilai prestasi, menetapkan dasar baharu dan berpotensi membawa perubahan kepimpinan.

“Kongres Kesembilan Parti kita akan mengisytiharkan fasa seterusnya bagi inisiatif dan matlamat pertahanan berdikari,” kata Kim dalam ucapannya semasa majlis pelancar roket tersebut.

“Projek memperbaharui keupayaan ketenteraan kita secara berterusan, untuk menundukkan apa jua ancaman dari kuasa luar, akan dipertingkatkan.”

Menurut Hong Min, penganalisis di Institut Penyatuan Nasional Korea di Seoul, kongres itu mungkin bermula seawal Khamis atau Jumaat minggu ini. - Agensi

Must Watch Video