awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
DUNIA
Arahan berpindah dikeluarkan ketika ribut kuat landa pantai timur Australia
DUNIA
6 maut, ramai cedera dalam letupan kilang mercun di selatan India
MALAYSIA
Lelaki nyaris maut, pikap terkena tembakan di hadapan sekolah
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

DUNIA

[KOLUMNIS] Ambalat bukan Sipadan: Pengelolaan bersama bukan pengakuan hak

Mohd Hazmi Mohd Rusli
Mohd Hazmi Mohd Rusli
01/07/2025
11:46 MYT
[KOLUMNIS] Ambalat bukan Sipadan: Pengelolaan bersama bukan pengakuan hak
Pengelolaan bersama di kawasan Ambalat tidak membawa pengiktirafan hak berdaulat mana-mana pihak. - Gambar/ Dok Maritim UGM
KENYATAAN Prof Hikmahanto Juwana baru-baru ini yang memberi peringatan bahawa pengelolaan bersama di kawasan Ambalat boleh menguntungkan Malaysia atau Indonesia secara sepihak sebenarnya mencerminkan satu kegusaran yang agak berlebihan jika diteliti berdasarkan pengalaman serantau dan prinsip undang-undang laut antarabangsa yang diiktiraf.

Ringkasan AI
  • Pengelolaan bersama di kawasan Ambalat tidak membawa pengiktirafan hak berdaulat mana-mana pihak, sebaliknya merupakan mekanisme sementara yang sah di sisi undang-undang laut antarabangsa seperti yang diperuntukkan dalam UNCLOS dan disokong oleh kes North Sea Continental Shelf.
  • Pengalaman Malaysia-Thailand dalam pengelolaan bersama di Teluk Thailand membuktikan pendekatan ini boleh dilaksanakan secara telus dan berkesan tanpa menjejaskan tuntutan hak berdaulat, serta memberi manfaat ekonomi kepada kedua-dua negara.
  • Kebimbangan terhadap pengelolaan bersama sebagai strategi penyerahan hak secara senyap adalah tidak berasas, dan Indonesia digesa mengambil langkah pragmatik demi memanfaatkan sumber hidrokarbon Ambalat untuk kepentingan rakyatnya.

Pertama, perlu difahami bahawa pengelolaan bersama bukan instrumen pengiktirafan hak berdaulat mana-mana pihak. Ia adalah mekanisme sementara untuk memastikan sumber hidrokarbon di kawasan pelantar benua yang belum dipersetujui persempadanan dapat dimanfaatkan bersama tanpa prejudis terhadap tuntutan masing-masing. Prinsip ini dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 83 ayat 3 UNCLOS yang menyebut:
"Sementara menunggu penyelesaian muktamad mengenai persempadanan pelantar benua antara negara-negara yang mempunyai pantai bersebelahan atau bertentangan negara-negara yang bersangkutan hendaklah membuat segala usaha untuk mencapai pengaturan sementara yang bersifat praktikal dan dalam tempoh peralihan ini mereka tidak boleh melakukan apa-apa tindakan yang boleh menjejaskan atau menghalang pencapaian persetujuan akhir tersebut".
Dengan kata lain jika Indonesia dan Malaysia bersetuju menandatangani pengelolaan bersama ia tidak boleh dianggap pengiktirafan mutlak hak berdaulat Malaysia atau pun Indonesia.
Kedua, kebimbangan bahawa pengelolaan bersama akan menjadi dasar klaim berikutnya tidak pernah terbukti dalam sejarah rantau ini.
Malaysia dan Thailand telah lama mengurus kawasan pelantar benua yang turut menjadi pertikaian melalui pengelolaan bersama di Teluk Thailand menerusi Memorandum Persefahaman yang ditandatangani pada 21 Februari 1979.
Malaysia–Thailand Joint Authority (MTJA) telah ditubuhkan secara rasmi menerusi Malaysia–Thailand Joint Authority Act 1990 di Malaysia. Manakala di Thailand pula, perundangan pelaksanaan yang setara turut digubal bagi memberikan kuasa perundangan sepenuhnya kepada pengelolaan bersama tersebut.
Kawasan pengelolaan bersama ini meliputi kira-kira 7,250 kilometer persegi terletak sekitar 150 kilometer dari pantai Kelantan dan Narathiwat.
Semua hasil petroleum dan gas asli dibahagi sama rata 50 peratus untuk Malaysia dan 50 peratus untuk Thailand. Prinsip asas perjanjian ini menyatakan secara jelas bahawa pengelolaan bersama tidak menjejaskan tuntutan hak berdaulat mana-mana pihak.
Lebih empat dekad kerjasama ini berjalan tanpa konflik baharu atau percubaan mana-mana pihak menggunakan pengelolaan bersama itu sebagai hujah hak eksklusif.
Hasil ekonomi yang diperoleh menjadi bukti bahawa pendekatan pragmatik jauh lebih berfaedah daripada membiarkan kawasan yang kaya sumber terus terbengkalai kerana kebimbangan retorik.
Ketiga, kebimbangan yang dikemukakan juga tidak selari dengan prinsip yang diperjelaskan dalam North Sea Continental Shelf Cases pada tahun 1969 Mahkamah Antarabangsa ICJ ketika itu menyelesaikan pertikaian pelantar benua antara Jerman Belanda dan Denmark.
Keputusan ICJ menggariskan beberapa prinsip utama.
Pertama pengaturan sementara tidak boleh ditafsirkan sebagai bukti pemilikan muktamad atau pengiktirafan hak berdaulat.
Kedua negara digalakkan mewujudkan pengaturan praktikal sementara dengan syarat ia dinyatakan dengan jelas tanpa prejudis kepada penyelesaian akhir
North Sea Continental Shelf Cases menjadi rujukan penting bahawa pengelolaan bersama bukan satu bentuk penyerahan hak secara senyap tetapi langkah pragmatik yang tidak menjejaskan tuntutan mana-mana pihak.
Ketiga, membandingkan keadaan Ambalat dengan kes Sipadan dan Ligitan adalah tidak tepat. Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes Sipadan dan Ligitan berdasarkan effectivites iaitu aktiviti pentadbiran nyata yang berterusan oleh Malaysia di pulau-pulau tersebut. Pengelolaan bersama adalah pengaturan bersama yang dirakam dalam dokumen rasmi bukan tindakan unilateral.
Maka ia tidak boleh dijadikan bukti effectivites atau asas pengiktirafan hak berdaulat secara mutlak.
Keempat jika Indonesia memilih untuk membiarkan kawasan Ambalat tidak dimanfaatkan hanya kerana kebimbangan yang tidak berasas, rakyat Indonesia sendiri yang rugi.
Potensi sumber hidrokarbon di kawasan tersebut boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Pengalaman Malaysia dan Thailand membuktikan bahawa pengelolaan bersama boleh dilaksanakan secara telus dengan syarat klausa tanpa prejudis dimasukkan secara terang dalam perjanjian.
KESIMPULAN
Pengelolaan bersama di kawasan pelantar benua pertikaian bukanlah strategi menang secara perlahan, sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Ia adalah amalan yang sah mengikut undang-undang laut antarabangsa dan sudah lama terbukti berkesan dalam konteks ASEAN.
Jika Malaysia boleh menghormati pengaturan tanpa prejudis bersama Thailand lebih empat puluh tahun tidak ada alasan rasional untuk menganggap Malaysia akan bertindak oportunis terhadap Indonesia.
Persoalan sebenar bukan sama ada Indonesia akan kehilangan hak berdaulat tetapi sama ada Indonesia sanggup mengambil langkah yang pragmatik dan berpijak pada realiti undang-undang laut untuk memanfaatkan sumber itu demi kepentingan rakyatnya sendiri.
Janganlah disamakan Ambalat dengan Sipadan.
Urus bersama, hak tidak binasa.
* Prof. Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah Ketua Penyelidik, International Law Unit (ILU), Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Felo Penyelidik, Asian Institute of International Affairs and Diplomacy, Universiti Utara Malaysia (UUM).
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Topic Berkaitan
#Ambalat
#Malaysia
#Indonesia
#pengelolaan bersama
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami