Skip to main content
Advertisement

Dunia

[KOLUMNIS] BRICS perluas pilihan strategik Malaysia

61726678079_BRICS.jpg
Bagi Malaysia, BRICS merupakan satu platform untuk mengubah perkara yang pada mulanya sekadar konsep menjadi tindakan yang realiti dan berfungsi.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebagai sebuah institusi, BRICS sememangnya bersifat longgar, tanpa sekretariat tetap, dan kerana setiap keputusan memerlukan kesepakatan, deklarasi yang dikeluarkan sering kali terlalu umum. Inisiatif mungkin kedengaran berimpak dan inovatif, namun pelaksanaannya boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk direalisasikan.

Tidak menghairankan jika blok ini mengundang skeptisisme, malah sebahagiannya boleh difahami. BRICS mungkin wajar digambarkan sebagai “gabungan geokonomi negara-negara yang bersedia bekerjasama”, namun bagi China dan India, kesediaan itu mungkin sekadar meneruskan persaingan strategik bukan sebagai rakan kerjasama.

Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) hadir di Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi baru-baru ini dengan pendirian yang amat jauh berbeza mengenai konflik di Timur Tengah. Rusia dan China, sebaliknya, lebih terbuka apabila bersedia untuk menjadikan BRICS sebagai penyeimbang terhadap pengaruh Barat. Namun, India dan Brazil pula lebih memilih untuk cenderung menumpukan perhatian kepada kerjasama ekonomi serta pembaharuan institusi sedia ada.

Semua keterbatasan itu adalah realiti. Bagaimanapun, menilai BRICS berdasarkan kegagalannya untuk menjadi sebuah pasaran bersama atau pakatan strategik bererti penilaian itu telah tersasar jauh. 

BRICS tidak pernah dirancang untuk menjadi mana-mana daripada kedua-duanya. Walaupun mempunyai kelemahan tersendiri, BRICS lebih berfungsi sebagai sebuah gabungan yang fleksibel dan tidak mengikat, dengan aspirasi untuk mencabar hegemoni Barat serta membuka ruang pembaharuan terhadap tadbir urus global.

Ungkapan “ini soal ekonomi, orang bodoh” mungkin sekadar slogan politik dalam kempen pilihan raya, namun bagi Malaysia, ada kepentingan praktikal yang dipertaruhkan. Ini kerana BRICS menghimpunkan beberapa ekonomi yang mempunyai kepentingan besar buat Malaysia.

Blok itu menawarkan satu lagi saluran untuk perdagangan, kewangan dan dialog politik, selain berpotensi mendorong Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada pengaturan yang dikawal oleh pihak lain, atau seperti yang disuarakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim iaitu perlu “mengurangkan sedikit demi sedkit kebergantungan kepada pasaran tradisional Barat”.

Setahun kebelakangan ini semakin mengukuhkan hujah yang dinyatakan. Tarif yang diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menunjukkan sesuatu keputusan di Washington boleh menjejaskan pembuat jentera di Pulau Pinang atau pengusaha perabot di Johor. Perperangan di Timur Tengah pula melonjakkan kos tenaga dan penghantaran, di samping mengancam laluan laut yang menjadi nadi perdagangan dunia.

Malaysia tidak memiliki pengaruh besar terhadap kedua-dua perkembangan tersebut, namun tetap perlu menanggung akibatnya. Tiada negara yang benar-benar mampu mengelak daripada tekanan sedemikian. Namun, Malaysia boleh mempelbagaikan lagi pendedahannya dengan memanfaatkan BRICS bagi mendapatkan pasaran alternatif, hubungan kewangan serta akses kepada teknologi.

Ubah Kekuatan Ekonomi kepada Manfaat Sebenar

Data yang dihimpunkan oleh Financial Times daripada sumber rasmi dan institusi menunjukkan skala BRICS dan sejauh mana blok itu masih perlu bergerak. BRICS yang telah diperluas itu kini membentuk kira-kira 40 peratus daripada output ekonomi dunia berdasarkan pariti kuasa beli.

Eksport barangan intra-BRICS pula melonjak lebih 13 kali ganda sejak 2003, mencecah kira-kira USD1.2 trilion pada 2025. Anggota BRICS pula turut terdiri daripada kalangan pengeluar dan pengguna terbesar dunia bagi tenaga, makanan, mineral serta barangan perkilangan.

Namun begitu, angka itu tidak semestinya membuktikan wujudnya integrasi ekonomi yang kukuh. Integrasi sebenar akan mendorong pergerakan barangan, perkhidmatan dan modal secara bebas. Sebahagian besar perdagangan tetap juga berlaku apa-apa pun, dan BRICS yang penting tidak mempunyai rangka kerja kawal selia yang sama. Sukar dinafikan, skala blok itu sememang besar justeru, Malaysia wajar meneruskan pengaturan praktikal yang memperluas pilihan dan mempelbagaikan hubungan ekonominya.

Pembayaran merupakan bidang yang menjanjikan potensi cerah. Unified Payments Interface (UPI) India merekodkan lebih 550 juta pengguna dan memproses transaksi bernilai USD3.4 trilion dalam tempoh setahun sehingga Mac. Di Brazil pula, Pix mempunyai lebih 170 juta pengguna dan mengendalikan transaksi bernilai USD6.8 trilion tahun lepas.

Sistem pembayaran segera di seluruh ekonomi BRICS memproses lebih USD10 trilion dalam tempoh 18 bulan lepas malah dalam beberapa pasaran domestik terbesar blok itu, sistem tersebut sudah mengatasi Mastercard dan Visa dari segi penggunaan.

Bagaimanapun, sebahagian besar aktiviti itu masih kekal dalam sempadan negara masing-masing. Mata wang negara-negara terbabit juga tidak semestinya mudah ditukar secara terus. Sebahagiannya masih tertakluk kepada kawalan modal. Ketidakseimbangan perdagangan pula menambahkan lagi kerumitan. India boleh membayar minyak Rusia menggunakan rupee, tetapi Rusia menetapkan penggunaan yang terhad terhadap rupee yang diterimanya. Kini, negara anggota BRICS sedang meneroka cara untuk menghubungkan sistem pembayaran mereka secara rentas sempadan dan menyelesaikan lebih banyak perdagangan dalam denominasi mata wang tempatan.

Malaysia sebenarnya sudah melalui pengalaman dalam perkara itu. DuitNow telah membina pautan dengan sistem pembayaran di beberapa negara Asia Tenggara tanpa memerlukan penyatuan mata wang. Langkah yang sama dengan ekonomi BRICS berpotensi memendekkan tempoh penyelesaian transaksi serta mengurangkan kos penukaran mata wang.

Manfaatnya mungkin hadir secara beransur-ansur, namun usaha itu tidak bermakna kecil. Bank Negara Malaysia jelas sememangnya dikendalikan oleh warganya yang cekap namun secara munasabah bergerak secara berhati-hati dalam kerangka konservatif, mungkin perlu meneroka pendekatan yang lebih kreatif untuk memanfaatkan peluang yang sedang muncul ini.

New Development Bank (NDB) juga wajar dinilai menerusi pendekatan yang sama. Menjelang akhir 2025, NDB telah meluluskan 139 projek bernilai hampir USD43 bilion. Dalam tempoh sama, Bank Dunia pula menyalurkan hampir USD600 bilion melalui cabang utama pemberi pinjamannya.

Jelas sekali, NDB bukan pengganti kepada Bank Dunia. Bagaimanapun kewujudannya memberikan satu lagi sumber pembiayaan kepada negara-negara yang sedang membangun apabila pembiayaan dalam mata wang tempatan boleh membantu mengurangkan pendedahan peminjam terhadap ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang asing.

Ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada sidang kemuncak pemimpin BRICS baru-baru ini, Anwar menyuarakan bahawa tiada negara sepatutnya dipaksa memilih antara melunaskan hutang dan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat. Beliau menyeru pembiayaan perlu sesuai dengan keperluan pembangunan di samping menekankan potensi pasaran modal Islam dan menggesa kalangan negara anggota BRICS memperluas kerjasama teknikal dan latihan dalam semikonduktor dan kecerdasan buatan.

Rapatkan Jurang Melalui Dialog

Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, India turut menguji sejauh mana negara anggota mampu mengurus perbezaan politik antara mereka. Pada Mei, para menteri luar BRICS gagal mencapai persetujuan mengenai satu kenyataan bersama apabila Iran dan UAE tidak dapat mencapai persefahaman bersama mengenai isu Timur Tengah. Pertikaian itu akhirnya terserlah kepada umum. Memandangkan perang yang masih berterusan, tiada jaminan sidang kemuncak itu dapat menghasilkan keputusan yang berbeza.

Namun begitu, India berjaya mencapai kesepakatan. Selepas rundingan yang panjang, Iran dan UAE bersetuju dengan satu deklarasi yang menyatakan kebimbangan terhadap konflik tersebut. Melalui deklarasi itu BRICS menggesa semua pihak supaya mengamalkan kawalan maksimum mungkin, melindungi orang awam, menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah, serta memastikan perdagangan, aliran tenaga dan keselamatan maritim terus terpelihara.

Presiden Iran Masoud Pezeshkian turut mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan, di sela-sela  sidang kemuncak itu, dan merupakan hubungan peringkat tertinggi antara kedua-dua pihak sejak konflik bermula. Walaupun tidak menyelesaikan perbezaan yang wujud, namun pertemuan tersebut sekurang-kurangnya mengekalkan ruang untuk berhubung ketika ketegangan serantau berada pada tahap kritikal.

Anwar turut memanfaatkan sidang kemuncak itu untuk memperjuangkan pendirian Malaysia mengenai Palestin. Meskipun mengelak penggunaan istilah “G” secara diplomatik, beliau tetap mengutuk sekeras-kerasnya tindakan agresif Israel di Timur Tengah dan menggesa BRICS supaya berterus terang dalam menentang pendudukan haram serta keganasan.

“Nilai sesebuah nyawa tidak berkurang hanya kerana tempat seseorang itu berada.”

Realisasi Autonomi Strategik

Pertemuan tersebut turut membuka ruang penting kepada Malaysia ketika mesyuarat dua hala. Sepanjang lawatan ke New Delhi, Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan President Rusia Vladimir Putin, President Iran Masoud Pezeshkian, Perdana Menteri India Narendra Modi serta Perdana Menteri Ethiopia Abiy Ahmed.

Malaysia tidak seharusnya mengharap BRICS untuk menggantikan order antarabangsa sedia ada. Perdagangan dan kestabilan kewangan negara masih banyak bergantung pada institusi antarabangsa yang telah kukuh bertapak. Hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun juga kekal penting.

BRICS berkemungkinan kekal lebih diyakini jika tumpuannya tetap terarah kepada pembangunan, kewangan, perdagangan dan teknologi. Penglibatan yang lebih besar dalam sektor keselamatan dan pertahanan pula boleh menguji kesepaduannya, memandangkan kalangan negara anggotanya mempunyai pendekatan yang amat berbeza terhadap isu-isu tersebut.

Status Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS seiring dengan pendekatan ini. Kedudukan itu memberi ruang kepada kerajaan untuk meneroka projek yang bermanfaat tanpa perlu menerima atau menyokong setiap pendirian yang diambil oleh blok tersebut mahupun mana-mana anggotanya. Malaysia kekal bebas untuk menjalinkan kerjasama di platform lain, sebagaimana yang diperlukan.

Di New Delhi, Anwar mentakrifkan autonomi strategik sebagai kebebasan untuk menentukan haluan Malaysia sendiri serta keberanian untuk berpegang teguh pada pilihan tersebut. Kebebasan sedemikian, sebahagiannya, bergantung pada keupayaan untuk mempunyai pasaran alternatif, sumber pembiayaan yang pelbagai dan saluran diplomatik yang tersedia apabila perjanjian sedia ada berdepan tekanan.

Bagi Malaysia, BRICS merupakan satu platform untuk mengubah perkara yang pada mulanya sekadar konsep menjadi tindakan yang realiti dan berfungsi.

-- BERNAMA


* Oleh Datuk Profesor Mohd Faiz Abdullah iaitu Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement