Skip to main content

Dunia

[KOLUMNIS] Gaza dan runtuhnya mitos liberalisme Barat

41768688964_TBgaza.jpg
Gaza memperlihatkan satu persoalan paling asas: apakah nilai yang dikatakan universal itu benar-benar universal, atau hanya berfungsi penuh apabila mangsanya sesuai dengan imaginasi politik Barat? -Gambar fail
Advertisement

PERANG Gaza bukan sekadar krisis kemanusiaan. Ia juga telah membuka satu krisis yang lebih dalam: krisis terhadap liberalisme dan “Barat” sebagai projek moral.

Selama beberapa dekad, dunia diminta menerima bahawa Barat berdiri di atas nilai-nilai universal: hak asasi manusia, kebebasan bersuara, demokrasi, kedaulatan undang-undang, perlindungan orang awam, kebebasan media dan penolakan terhadap kekejaman negara. 

Nilai-nilai ini sering dipersembahkan seolah-olah ia merupakan sumbangan tertinggi Barat kepada dunia moden.

Negara lain ditegur atas nama demokrasi. Pemimpin Dunia Selatan dikecam atas nama hak asasi. Negara yang menjadi musuh geopolitik Barat disekat atas nama undang-undang antarabangsa. Dunia diajar bahawa ada satu “rules-based international order” yang mesti dihormati oleh semua.

Namun situasi di Gaza telah menguji seluruh imej yang dipaparkan pada kita selama ini.

Image
Bodies of unidentified Palestinians returned from Israel as part of the ceasefire deal are buried in Deir al-Balah, Gaza Strip, Friday, Feb. 13, 2026. (AP Photo/Abdel Kareem Hana)

Apabila ribuan orang awam Palestin terbunuh, hospital dimusnahkan, wartawan dibunuh, penduduk dipindahkan berulang kali, bantuan kemanusiaan disekat, dan sebuah masyarakat dihancurkan secara sistematik, dunia menyaksikan bagaimana bahasa liberal yang selama ini lantang tiba-tiba menjadi kabur, bersyarat dan penuh pengecualian.

Di sinilah krisis itu bermula. Bukan kerana Barat tidak pernah bercakap tentang hak asasi manusia. Masalahnya ialah kerana hak asasi itu kelihatan tidak diberikan secara sama rata. Ada nyawa yang disebut sebagai tragedi. 

Ada nyawa yang hanya disebut sebagai angka. Ada kematian yang menggegarkan dunia. Ada kematian yang segera dibungkus dengan istilah “collateral damage”, “self-defence” dan “complex security situation”.

Image
Palestinians inspect the damage after a person was hit by an Israeli strike while riding a bicycle, according to medics, in Gaza City, April 6, 2026. REUTERS/Dawoud Abu Alkas

Gaza memperlihatkan satu persoalan paling asas: apakah nilai yang dikatakan universal itu benar-benar universal, atau hanya berfungsi penuh apabila mangsanya sesuai dengan imaginasi politik Barat?

Krisis ini bukan baharu. Ia sudah lama dihujahkan oleh tokoh-tokoh anti-kolonial dan pascakolonial. Aimé Césaire, dalam Discourse on Colonialism, sejak awal telah menelanjangkan wajah moral Eropah. 

Bagi Césaire, Eropah bukan sekadar gagal memenuhi janji moralnya, tetapi menjadi “morally, spiritually indefensible” kerana kolonialisme telah mendedahkan bahawa di sebalik bahasa tamadun, kemajuan dan kemanusiaan, wujud kekerasan, rasisme dan eksploitasi.

Gaza menjadikan kritikan Césaire yang diterbitkan 76 tahun lepas, malar segar. Barat masih bercakap tentang tamadun, tetapi mendiamkan penghancuran sebuah masyarakat. Barat masih bercakap tentang hak asasi, tetapi membekalkan senjata. Barat masih bercakap tentang undang-undang antarabangsa, tetapi mempertahankan pengecualian untuk sekutunya.

Image
81769655229_GAZA.jpg

Frantz Fanon pula pernah menunjukkan bahawa kolonialisme tidak hanya menjarah tanah, tetapi juga menyusun hierarki manusia. Dalam dunia kolonial, ada manusia yang diiktiraf penuh sebagai manusia, dan ada manusia yang diletakkan dalam zon kekerasan, pengawasan dan kematian.

Pemikiran Fanon tentang kekerasan kolonial terus dirujuk dalam perbahasan Palestin kerana ia membantu menjelaskan bagaimana penjajahan menjadikan penderitaan pihak tertindas seolah-olah normal, dan tindak balas mereka yang tertindas ini segera dilabel sebagai ancaman mutlak.

Inilah yang berlaku di Gaza. Seluruh sejarah pendudukan, sekatan, pengusiran dan dehumanisasi sering dipadam daripada naratif utama.

Image
81768598172_TBGaza.jpg

Sejarah bermula hanya apabila pihak Palestin bertindak balas. Kekerasan penjajah disusun sebagai “keselamatan”, sementara jeritan pihak yang dijajah disusun sebagai “keganasan”.

Edward Said telah lama mengkritik cara Barat membentuk imej “Timur” sebagai asing, mundur, ganas dan tidak rasional. Dalam Orientalism, Said menunjukkan bahawa Barat bukan sekadar melihat Timur, tetapi menghasilkan pengetahuan tentang Timur dengan cara yang mengukuhkan kuasa Barat sendiri.

The New Yorker merumuskan bahawa karya Said meneliti bagaimana akademia dan budaya Barat secara sistematik merendahkan “Orient”.

Dalam konteks Gaza, orientalisme ini masih hidup. Mereka yang berada di Palestin tidak dilihat sebagai manusia yang mempunyai sejarah, tanah, trauma dan aspirasi politik.

Palestin sering dibaca sebagai masalah keselamatan, krisis demografi, ancaman ekstremisme atau gangguan kepada kestabilan rantau. Maka apabila Gaza dihancurkan, sebahagian media dan pemimpin Barat tidak melihatnya sebagai kehancuran manusia, tetapi sebagai operasi untuk menyelesaikan “masalah”.

Di sinilah pandangan Judith Butler menjadi penting. Butler banyak menulis tentang konsep “grievable lives”, iaitu persoalan mengapa sesetengah nyawa dianggap layak diratapi, sementara nyawa lain tidak diberi pengiktirafan moral yang sama.

Image
71756644266_PalestiniansGaza.jpg

Dalam perbahasan tentang Gaza, konsep ini sangat relevan. Masalah dunia hari ini bukan sekadar manusia mati, tetapi tidak semua kematian diiktiraf sebagai kehilangan yang sama nilainya.

Perbincangan sekitar buah fikir Butler sering dikaitkan dengan persoalan sama ada dunia mampu meratapi nyawa Israel dan Palestin tanpa syarat, tetapi persoalan yang lebih tajam ialah mengapa nyawa Palestin sering perlu membuktikan kemanusiaannya terlebih dahulu.

Gaza memperlihatkan hierarki duka. Apabila rakyat Palestin mati, media tertentu bertanya dahulu: adakah mereka HAMAS?

Adakah angka korban boleh dipercayai? Adakah mereka digunakan sebagai perisai manusia? Adakah Israel sudah memberi amaran?

Seolah-olah kematian Palestin tidak boleh terus diratapi sebagai kematian manusia. Ia perlu melalui proses tapisan politik terlebih dahulu.

Pankaj Mishra, dalam The World After Gaza, membawa hujah yang lebih luas. Buku itu membaca Gaza melalui kerangka sejarah kolonialisme, Holocaust, Zionisme, dekolonisasi dan keruntuhan autoriti moral Barat.

Image
51736129007_palestinegazaisr.jpg

The Guardian menggambarkan buku tersebut sebagai analisis kritikal tentang peranan Barat dalam penciptaan dan keadaan semasa Israel-Palestin, walaupun karya itu juga menerima kritikan kerana sudut pandangnya yang tajam terhadap Barat.

Yang penting daripada Mishra ialah persoalan moralnya: bagaimana dunia yang mendakwa belajar daripada tragedi abad ke-20 boleh membiarkan kekejaman yang begitu terang berlaku di hadapan mata?

Bagaimana ingatan terhadap penderitaan masa lalu boleh digunakan untuk menutup penderitaan masa kini? Bagaimana bahasa “never again” boleh berubah menjadi “never again for some”?

Inilah titik paling menyakitkan dalam krisis liberalisme Barat. Barat tidak kekurangan bahasa moral.

Ia mempunyai bahasa hak asasi, bahasa kemanusiaan, bahasa demokrasi, bahasa toleransi, bahasa pluralisme dan bahasa undang-undang. Tetapi Gaza menunjukkan bahawa bahasa moral boleh hidup bersama struktur kekuasaan yang tidak bermoral.

Image
71737096454_palestinegazaisr.jpg

Kes Afrika Selatan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa menjadi detik penting dalam krisis ini.

Pada Januari 2024, ICJ mengarahkan Israel mengambil langkah-langkah sementara di bawah Konvensyen Genosid, termasuk mencegah perbuatan yang boleh termasuk dalam jenayah genosid dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada penduduk Gaza.

Kes ini menjadikan Gaza bukan lagi sekadar perbahasan aktivis atau sentimen umat Islam, tetapi memasuki ruang undang-undang antarabangsa tertinggi.

Kemudian, pada November 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

ICC menyatakan waran itu dikeluarkan selepas mahkamah menolak cabaran Israel terhadap bidang kuasanya.

Namun respons banyak negara Barat masih memperlihatkan keengganan untuk menundukkan Israel kepada prinsip yang sama seperti negara lain.

Di atas kertas, liberalisme menuntut kedaulatan undang-undang. Tetapi dalam realiti Gaza, undang-undang sering kelihatan seperti hanya mengikat pihak yang lemah.

Apabila musuh Barat melanggar undang-undang antarabangsa, istilahnya jelas: pencerobohan, jenayah perang, autoritarianisme. Tetapi apabila sekutu strategik Barat melakukannya, bahasa berubah menjadi lebih lembut: hak mempertahankan diri, keperluan keselamatan, perang melawan keganasan.

Image
41737524603_GazaPalestineHam.jpg

Amerika Syarikat beberapa kali menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan PBB terhadap resolusi berkaitan gencatan senjata Gaza. Pada November 2024, AS menjadi satu-satunya negara yang mengundi menentang resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera dan kekal.

Reuters melaporkan bahawa Washington mempertahankan veto itu dengan alasan resolusi tersebut tidak mengikat gencatan senjata kepada pembebasan tebusan.

Pada masa yang sama, sokongan ketenteraan kepada Israel terus berjalan. Reuters melaporkan bahawa pada Februari 2025, pentadbiran Donald Trump meluluskan penjualan ketenteraan kepada Israel bernilai sekitar USD7.4 bilion, termasuk pakej munisi, guidance kits dan fuses.

Di sinilah bahasa kemanusiaan Barat kelihatan terpisah daripada struktur kuasanya. Di satu pihak, pemimpin Barat bercakap tentang perlindungan orang awam. Di pihak lain, sistem diplomatik dan ketenteraan mereka terus memberi ruang kepada kekerasan yang sama untuk berlanjutan.

Image
United Nations Special Rapporteur on the situation of human rights in the occupied Palestinian territory, Francesca Albanese, attends a press conference at the European headquarters of the UN in Geneva, Switzerland, September 15, 2025. REUTERS/Pierre Albouy
Francesca Albanese

Pelapor Khas PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin yang diduduki Francesca Albanese antara tokoh paling lantang mengkritik keadaan ini.

Dalam laporannya Anatomy of a Genocide, beliau menyimpulkan bahawa terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa ambang jenayah genosid telah dicapai.

Dalam perkembangan berikutnya, beliau juga mengkritik negara-negara, khususnya negara Barat, kerana terus memberi sokongan politik dan ketenteraan kepada Israel ketika Gaza dihancurkan.

Reuters melaporkan bahawa pakar-pakar PBB mengkritik sokongan Barat terhadap Israel walaupun mereka menyifatkan keadaan di Gaza sebagai genosid.

Image
An Israeli soldier uses tear gas against Palestinians as they hold Friday prayers during a protest against Israeli settlement expansion and land confiscation near Bethlehem in the Israeli-occupied West Bank, July 3, 2026. REUTERS/Mussa Qawasma

Kritikan Albanese penting kerana ia mengalihkan perbincangan daripada sekadar “apa yang Israel lakukan” kepada “siapa yang membolehkan Israel terus melakukannya”. Genosid, pembunuhan besar-besaran atau jenayah perang tidak berlaku dalam ruang kosong.

Ia memerlukan senjata, legitimasi diplomatik, perlindungan veto, pembingkaian media, dan pembungkaman suara yang menentang.

Naomi Klein turut membawa kritik yang hampir sama. Dalam wawancara bersama DAWN pada Januari 2025, beliau menyifatkan Gaza sebagai “crime scene” dan memberi amaran bahawa selepas bom berhenti sekalipun, usaha menutup atau menekan pemeriksaan jujur terhadap apa yang berlaku di Gaza akan terus berlangsung.

Dalam tulisan dan ucapannya, Klein banyak menekankan bagaimana trauma 7 Oktober telah dipersenjatakan untuk membenarkan kekerasan Israel terhadap Gaza.

Kritikan Klein menusuk kerana ia datang daripada seorang intelektual Yahudi progresif yang menolak penyamaan antara Yahudi dan Zionisme. Beliau menunjukkan bahawa menentang kekejaman Israel bukanlah kebencian terhadap Yahudi.

Sebaliknya, ia boleh lahir daripada komitmen moral yang menolak penggunaan trauma sejarah sebagai lesen untuk menindas bangsa lain.

Image
81723423598_GazaIsraelibombar.jpg

Arundhati Roy pula mengkritik Barat dengan bahasa yang lebih tajam. Dalam satu kenyataan yang disiarkan LitHub pada November 2023, Roy menyifatkan pendudukan Israel di Tebing Barat dan kepungan Gaza sebagai jenayah terhadap kemanusiaan, serta menyatakan bahawa AS dan negara-negara yang membiayai pendudukan turut menjadi pihak dalam jenayah tersebut.

Pada 2026, Roy menarik diri daripada Berlinale sebagai protes terhadap sikap yang mahu memisahkan seni daripada politik ketika Gaza sedang dihancurkan; Al Jazeera melaporkan bahawa beliau terkejut dengan pendirian juri yang enggan mengulas perang Gaza atas alasan pembikin filem harus menjauhkan diri daripada politik.

Roy memahami bahawa “neutraliti” dalam keadaan kekejaman bukanlah neutraliti. Ia selalunya berpihak kepada kuasa. Apabila dunia seni, akademia, media dan universiti berkata “jangan berpolitik” hanya ketika isu Palestin dibangkitkan, itu bukan prinsip. Itu adalah disiplin politik yang menyamar sebagai kesopanan institusi.

Angela Davis menyebut Palestin sebagai ujian moral kepada dunia. Dalam wawancara Al Jazeera, beliau menekankan bahawa Palestin telah lama menjadi pusat solidariti gerakan keadilan sosial, khususnya dalam tradisi perjuangan kulit hitam dan anti-penindasan.

Maksudnya, sikap seseorang terhadap Palestin sering mendedahkan sejauh mana komitmennya terhadap pembebasan benar-benar konsisten.

Image
61737526753_Gaza.jpg

Jika seseorang hanya bercakap tentang keadilan apabila mangsanya dekat dengan imaginasi politiknya, itu bukan keadilan sejagat. Jika seseorang hanya menentang kekerasan negara apabila negara itu musuh geopolitiknya, itu bukan prinsip hak asasi.

Jika seseorang hanya mempertahankan kebebasan bersuara apabila ucapan itu selari dengan kepentingannya, itu bukan kebebasan. Itu hanyalah kuasa yang memilih bahasa liberal sebagai pakaiannya.

Krisis ini turut jelas dalam isu kebebasan bersuara. Di universiti-universiti Barat, pelajar yang membantah perang Gaza menuntut gencatan senjata, penamatan bantuan ketenteraan kepada Israel, dan divestment daripada syarikat yang dikaitkan dengan perang. Tetapi di beberapa kampus Amerika Syarikat, polis dipanggil dan demonstran ditangkap.

Reuters melaporkan lebih 100 penunjuk perasaan pro-Palestin ditangkap di Columbia University pada April 2024 selepas pihak universiti meminta polis mengosongkan khemah protes.

Amnesty International pula mengkritik negara-negara Eropah kerana menghukum solidariti terhadap Palestin dan memperluas sekatan terhadap ucapan serta perhimpunan berkaitan Gaza.

Human Rights Watch turut membangkitkan isu sekatan terhadap protes, termasuk kes Dr Ghassan Abu Sittah yang pernah dikenakan larangan masuk Schengen oleh Jerman sebelum larangan itu dilaporkan dibatalkan.

Maka timbul persoalan: adakah kebebasan bersuara itu prinsip, atau hanya hak bersyarat yang bergantung kepada isu apa yang dibicarakan? Jika seseorang mengkritik Rusia, China atau Iran, ia disebut keberanian moral. Tetapi apabila seseorang mengkritik Israel, dia boleh segera dicurigai, diawasi, dihukum atau dilabel secara simplistik.

Sudah tentu, antisemitisme mesti ditolak. Kebencian terhadap Yahudi tidak boleh diberi ruang. Tetapi mengkritik Zionisme, dasar apartheid, pendudukan, sekatan, pembunuhan orang awam dan pemusnahan Gaza bukanlah antisemitisme.

Menyamakan semua kritikan terhadap Israel dengan kebencian terhadap Yahudi hanya menjadikan ingatan sejarah penderitaan Yahudi sebagai alat untuk menutup penderitaan Palestin.

Image
41766696981_NorthGaza.jpg

Krisis liberalisme Barat bukan bermakna semua nilai liberal itu palsu. Hak asasi manusia tetap penting. Kebebasan bersuara tetap perlu dipertahankan.

Undang-undang antarabangsa tetap mesti dijaga. Demokrasi tetap lebih baik daripada autoritarianisme. Masalahnya ialah apabila nilai-nilai ini tidak diamalkan secara konsisten.

Gaza tidak membuktikan bahawa hak asasi manusia tidak berguna. Gaza membuktikan bahawa hak asasi manusia sedang dikhianati oleh pihak yang paling kerap mengaku sebagai penjaganya.
Inilah sebabnya Gaza menjadi cermin yang sangat keras. Ia memaksa dunia melihat jurang antara bahasa dan tindakan.

Antara prinsip dan kepentingan. Antara universaliti nilai dan hierarki nyawa. Antara manusia sebagai manusia, dan manusia sebagai objek geopolitik.

Bagi masyarakat Dunia Selatan, Gaza mengesahkan satu pengalaman lama: sistem antarabangsa sering berfungsi secara tidak setara. Negara kecil diminta patuh kepada undang-undang.

Negara kuat menentukan bila undang-undang itu perlu ditegakkan dan bila ia boleh ditangguhkan. Mangsa tertentu diberikan simpati tanpa syarat. Mangsa lain perlu terlebih dahulu membuktikan bahawa mereka cukup “tidak bersalah” untuk layak dikasihani.

Sebab itu krisis Gaza bukan hanya krisis Palestin. Ia adalah krisis terhadap bahasa moral dunia moden.

Image
41736983513_GazaPalestineHam.jpg

Jika Barat mahu menyelamatkan liberalisme sebagai projek moral, ia tidak cukup dengan mengulangi slogan demokrasi dan hak asasi. Ia mesti berani mengakui bahawa nyawa Palestin mempunyai nilai yang sama dengan nyawa manusia lain.

Ia mesti menerima bahawa undang-undang antarabangsa tidak boleh hanya digunakan terhadap musuh, tetapi juga terhadap sekutu. Ia mesti membenarkan kebebasan bersuara bukan hanya apabila ucapan itu selesa didengar, tetapi juga apabila ia menggugat kepentingan kuasa.

Gaza telah meruntuhkan banyak ilusi. Ia menunjukkan bahawa masalah utama dunia hari ini bukan kekurangan nilai, tetapi pengkhianatan terhadap nilai yang sudah lama dilaungkan.

Dan mungkin dari runtuhan inilah kita perlu memulakan semula perbincangan tentang keadilan; bukan keadilan sebagai retorik kuasa, tetapi keadilan sebagai prinsip yang benar-benar merentasi bangsa, agama, warna kulit dan kepentingan geopolitik.

Kerana jika hak asasi hanya terpakai kepada sesetengah manusia, ia bukan lagi hak asasi. Ia hanyalah keistimewaan politik yang diberi kepada mereka yang dianggap layak menjadi manusia.


Muhammad Syahmi Afiq Mohd Shukari merupakan penulis dan pemerhati isu Palestin serta Asia Barat yang memberi tumpuan kepada aspek kemanusiaan, geopolitik dan sejarah. Beliau telah menghasilkan lebih 50 artikel analitikal, selain merupakan penulis buku Zionisme: Daripada Idea Menjadi Kuasa dan penulis bersama Baitul Maqdis: Jalan Menuju Pembebasan.

Beliau kini berkhidmat sebagai Pengurus di ILHAM Books, sebuah rumah penerbitan yang menerbitkan karya separa akademik, biografi, autobiografi, sejarah, pemikiran dan wacana sosial.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalani mereka, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI. 

 

Must Watch Video

Advertisement