[KOLUMNIS] Kemenangan Zohran Mamdani: Titik peralihan baharu dalam hubungan Amerika-Israel?
![[KOLUMNIS] Kemenangan Zohran Mamdani: Titik peralihan baharu dalam hubungan Amerika-Israel? [KOLUMNIS] Kemenangan Zohran Mamdani: Titik peralihan baharu dalam hubungan Amerika-Israel?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-11/41762393608_ZohranMamdani.jpg)
Kemenangan Mamdani membuka wacana baharu bukan sahaja tentang perubahan pola pengundi di kota York tetapi juga masa depan pendirian rakyat dan negara Amerika terhadap isu Israel-Palestin. - Gambar Reuters
APABILA Zohran Mamdani, seorang anak muda imigran yang secara terbuka isytihar sebagai pro Palestine, menang pilihanraya Datuk Bandar Kota New York, ia telah membuka wacana baharu bukan sahaja tentang perubahan pola pengundi di kota York tetapi juga masa depan pendirian rakyat dan negara Amerika terhadap isu Israel-Palestin.
Selama hampir satu abad, New York dianggap sebagai ibu kota diaspora Yahudi dunia.
Dengan lebih 1.6 juta penduduk Yahudi, bandar ini menjadi pusat kewangan, kebudayaan dan politik yang menghubungkan komuniti Yahudi di seluruh dunia.
Beberapa Datuk Bandar terdahulu seperti Abraham Beame, Ed Koch, Rudy Giuliani dan Michael Bloomberg secara terbuka mendefinisikan identiti bandar ini sebagai sebahagian daripada kisah kelangsungan negara Israel.
Mereka menjemput pemimpin Israel ke City Hall, mempromosi bantuan kewangan kepada Israel dan mempertahankan tindakan ketenteraan Israel atas dasar keselamatan negara haram tersebut.
Hubungan erat antara New York dan Israel berakar dalam jaringan kewangan, filantropi dan diplomasi.
Kedudukan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Manhattan menjadikan New York pentas utama diplomasi Israel.
Dalam konteks ini, kedudukan pro-Israel kelihatan kukuh dan tidak tergugat.
Bagaimanapun, Mamdani tidak mahu menyembunyikan pendiriannya.
Sejak sebelum bertanding, beliau secara terbuka menuduh Israel mengamalkan dasar apartheid terhadap rakyat Palestin dan mengkritik dasar luar Amerika yang dianggap menyokong penindasan tersebut.
Pendekatan seperti ini suatu ketika dahulu pasti menamatkan karier politik di New York.
Namun kali ini, mesej beliau mendapat sambutan meluas, termasuk daripada kalangan golongan muda Yahudi sendiri.
Krisis kemanusiaan di Gaza antara 2023 hingga 2025 telah mengubah persepsi dunia.
Gambar hospital yang musnah, kanak-kanak yang terbunuh dan pelarian yang kehilangan tempat tinggal tersebar setiap hari di media sosial.
Bagi ramai warga New York, sama ada Yahudi, Muslim, Kristian mahupun sekular melihat isu Palestin bukan lagi isu luar negara semata-mata, tetapi ujian moral terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
Kemenangan Mamdani amat mengejutkan ramai penganalisis politik. Lebih dua juta rakyat New York keluar mengundi, satu jumlah tertinggi sejak tahun 1969.
Penyokong beliau datang daripada pelbagai latar: komuniti kulit hitam dan Latino kelas pekerja di Bronx dan Brooklyn; komuniti imigran Asia Selatan, Caribbean dan Afrika; golongan Yahudi progresif seperti Jewish Voice for Peace dan If Not Now; serta generasi muda yang muak dengan politik elitis dan korporat.
Bagi mereka, menyokong Palestin bukan semata-mata pendirian luar negara, tetapi sebahagian daripada perjuangan keadilan sejagat yang seiring dengan gerakan menentang rasisme, ketidaksamaan ekonomi dan pencemaran alam.
Kemenangan Zohran Mamdani membawa implikasi langsung terhadap Israel, baik dari segi politik simbolik, media mahupun strategi diplomatik.
Sebagai Datuk Bandar New York, beliau kini mengetuai sebuah metropolis yang merupakan nadi geopolitik Israel di luar sempadannya.
Malah, kota yang menempatkan komuniti Yahudi terbesar di dunia, institusi kewangan utama, dan juga pusat media global telah mula melihat kembali isu kemanusian di Gaza.
Kesan tekanan global terhadap moral Amerika, penekanan hujah Mamdani tentang 'apartheid Israel' kini mendapat legitimasi institusi.
Setiap kenyataan beliau sebagai Datuk Bandar akan menjadi tumpuan media antarabangsa, dan ini berpotensi mengubah naratif Amerika terhadap Israel.
Selain itu, landskap Media Barat di mana selama ini New York adalah ibu kota media global Barat yang pro Israel.
Di sinilah beroperasinya The New York Times, NBC, CNN, Bloomberg dan ratusan agensi berita antarabangsa yang selama ini sering menyiarkan naratif Islamofobia.
Kemenangan Mamdani berpotensi mengubah orientasi etika media ini ke arah pro-kemanusiaan di Gaza.
Tidak kurang pentingnya, sebagai tuan rumah kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ratusan pejabat diplomatik, New York di bawah Mamdani berpotensi menjadi suara moral baharu dalam wacana antarabangsa, memberi tekanan tidak langsung kepada dasar luar Amerika yang selama ini berpihak kepada Israel.
Penutup:
Kemenangan Zohran Mamdani tidak bermakna pengakhiran warisan Yahudi di New York.
Kota ini kekal sebagai pusat kebudayaan, pendidikan dan kehidupan Yahudi dunia.
Namun, ia menandakan pengakhiran dominasi politik pro Israel dan Islamofobia dalam menentukan dasar dan hala tuju moral bandar tersebut.
New York kini melangkah ke era baharu, era di mana solidariti tidak lagi diukur berdasarkan asal usul atau bangsa san agama tetapi atas dasar nilai sejagat: keadilan, keamanan dan kemanusiaan.
Kota yang selama ini menjadi lambang kekuatan diaspora Yahudi kini memperlihatkan wajah baharu Amerika sebagai sebuah metropolis yang berani memilih kepimpinan moral berjiwa kemanusiaan sejagat.
Dan di sinilah letaknya makna sebenar kemenangan Zohran Mamdani sebagai tanda perubahan zaman di mana kebenaran moral mula mengatasi politik kebencian serta isyarat bahawa pusat media Barat di New York mula berpihak kepada kemanusiaan di Gaza, bukan lagi kepada propaganda kekuasaan Israel.
* Prof. Dr Mohd Afandi Salleh ialah pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


