DUNIA
[KOLUMNIS] Kenapa 'Middle East', bukan 'West Asia'?
![[KOLUMNIS] Kenapa 'Middle East', bukan 'West Asia'? [KOLUMNIS] Kenapa 'Middle East', bukan 'West Asia'?](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/51750582720_TBmiddleeastMap.jpg)
Peta yang menunjukkan negara-negara yang biasa dikenali sebagai wilayah 'Middle East', sedangkan secara geografi, ia sebenarnya wilayah Asia Barat. - Encyclopedia Britannica, Inc.
KETIKA dunia kini menyaksikan pelbagai konflik di rantau yang biasa disebut 'Middle East', satu persoalan penting jarang disentuh: Mengapa istilah 'Middle East' (Timur Tengah) masih digunakan, sedangkan secara geografi, wilayah itu sebenarnya terletak di Asia Barat?
Isu ini bukan sekadar soal istilah, tetapi bagaimana sejarah kolonial, kuasa global, dan naratif media membentuk cara kita melihat dunia.
Istilah 'Middle East' mula popular pada abad ke-19 dari perspektif Eropah kolonial. British, yang ketika itu menguasai laluan laut dan tanah jajahan dari Laut Mediterranean hingga India, menggunakan istilah ini untuk membezakan tiga kawasan utama.
Near East merujuk kepada Balkan dan Turki, yang dahulu wilayah Empayar Uthmaniyah. Middle East meliputi Iran, Teluk Arab, dan Semenanjung Arab.Sementara Far East melibatkan China, Jepun, dan Asia Timur. Dalam erti kata lain, istilah “tengah” ini menunjukkan kedudukan relatif wilayah itu dari pandangan Eropah, bukan berdasarkan lokasi sebenar di Asia.
Menurut sistem geografi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara seperti Arab Saudi, Iraq, Iran, Jordan, dan Syria tergolong dalam kawasan Asia Barat.
Dari sudut geografi Asia, tiada apa yang “tengah” tentang wilayah ini. Namun, istilah 'Middle East' masih digunakan secara meluas dalam media, diplomasi, dan perbincangan antarabangsa kerana ia sudah sebati dengan naratif kuasa-kuasa besar dunia.
Penggunaan istilah 'Middle East' juga mencerminkan pengaruh naratif Barat dalam geopolitik global. Ia bukan sekadar label, tetapi membawa bersama isu-isu politik seperti minyak, konflik berpanjangan Palestin-Israel, dan stereotaip terhadap dunia Islam dan Arab.
Bahkan dalam wacana pendidikan dan pemberitaan di Malaysia, istilah ini digunakan secara automatik tanpa mengira konteks sejarah atau alternatif yang lebih tepat seperti Asia Barat.
Kini, semakin ramai cendekiawan dalam bidang geografi, hubungan antarabangsa, dan kajian pascakolonial menyarankan agar kita menggantikan 'Middle East' dengan istilah Asia Barat.
Tujuannya adalah untuk membina naratif yang lebih adil dan bebas dari pengaruh sejarah imperialisme. Istilah seperti Asia Barat, Afrika Utara dan Asia Barat (WANA), atau Asia Barat Daya (SWA) semakin digunakan dalam laporan PBB, dokumen akademik, dan wacana ilmiah, walaupun masih belum menjadi arus perdana.
Mengapa kita masih tidak menggunakan istilah Asia Barat? Jawapannya mudah, kuasa lama masih hidup dalam bahasa yang kita guna. Sebagai media dan masyarakat, kita harus lebih sedar bahawa istilah yang digunakan mempengaruhi cara kita memahami geopolitik dunia.
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita melihat rantau ini sebagai sebahagian daripada Asia, bukan hanya dari segi geografi tetapi juga dalam kesedaran kolektif kita.
*Nik Nuur Azam Shah merupakan wartawan Astro AWANI yang berkelulusan jurusan Geografi dari Universiti Malaya.
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami