MARAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dan kesal atas insiden yang dilihat sengaja menggugat keharmonian negara dan negeri.
Baginda menegaskan kekesalan itu termasuk isu terbaharu yang melibatkan seorang mahasiswa daripada sebuah universiti awam di Pahang yang didakwa mencemarkan al-Quran.
Advertisement
"Perbuatan tersebut bukan sahaja suatu tindakan yang amat biadab, malah penghinaan yang mengguris hati umat Islam serta mencabar asas keharmonian masyarakat yang dibina atas prinsip saling menghormati," titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah berdiam diri bukanlah suatu pilihan apabila agama dihina.
"Diam dalam keadaan sedemikian mencerminkan lemahnya jiwa dan pudarnya rasa tanggungjawab terhadap maruah," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Masjid Baharu Felda Jengka 19 dan memasyhurkannya dengan nama Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Felda Jengka 19 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agama Islam menuntut ketegasan dalam lingkungan keadilan, namun umat Islam tidak boleh membiarkan penghinaan berlaku dan tidak boleh membalas juga dengan tindakan yang meruntuhkan keamanan.
Baginda turut mengingatkan umat Islam agar terus mempertahankan agama dengan tegas dan pada masa yang sama menghormati penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka dengan aman.
"Sebagai Ketua dan Pelindung Agama Islam Negeri Pahang, saya menegaskan bahawa sebarang penghinaan terhadap Islam hendaklah ditangani secara tegas tanpa kompromi menurut lunas undang-undang. Kebebasan bersuara bukan alasan untuk menghina agama," titah baginda.
Sultan Pahang turut menyeru seluruh rakyat beragama Islam di negeri ini agar kembali kepada al-Quran seperti membacanya, memahami maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Tunku Azizah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta anakanda baginda yang lain.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Nor Hisham Mohammad dan barisan pengerusi jawatankuasa kerajaan negeri Pahang.
Pada 25 Feb lepas, seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran dan dia telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini.
-- BERNAMA