KUALA LUMPUR: Hong Kong menerima lebih 49.9 juta pelawat pada 2025, peningkatan sebanyak 12 peratus tahun ke tahun (y-o-y), menurut Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB).
Pengarah Serantau Asia Tenggaranya Liew Chian Jia berkata ketibaan pelawat dari Malaysia meningkat 6 peratus tahun ke tahun kepada 430,000 orang pada 2025.
Advertisement
"Di peringkat global, Hong Kong menerima hampir 50 juta pelawat, termasuk 3.2 juta dari Asia Tenggara.
"Apa yang menariknya, 75 peratus pelawat dari Malaysia merupakan pengunjung berulang ke Hong Kong. Ini jelas menunjukkan daya tarikan Hong Kong yang berterusan," katanya pada ucapan pembukaan di majlis Iftar Bersama Media dan Rakan Dagang 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata dalam senarai pelancong Muslim global, Hong Kong menduduki tempat pertama sebagai destinasi mesra Muslim yang mudah diakses, kedua dari segi keselamatan untuk pelancong wanita Muslim dan ketiga sebagai destinasi paling mesra Muslim dalam kalangan destinasi bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
"Berdasarkan momentum ini, kami menyaksikan sokongan luar biasa daripada rakan industri di Hong Kong yang memperkenalkan inisiatif baharu bagi memperkayakan lagi pengalaman pelawat Muslim.
"Pada masa ini, kami memiliki sejumlah 195 premis makanan dan restoran yang diperakui halal, dimiliki Muslim serta mesra Muslim. Selain itu, terdapat 59 hotel, dua tempat tarikan dan dua lokasi yang mempunyai pensijilan mesra Muslim," katanya.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, HKTB memaklumkan bahawa 59 hotel kini menerima penarafan Crescent Rated -- iaitu sistem penarafan dan akreditasi bebas yang diiktiraf di peringkat global yang menilai perkhidmatan pelancongan termasuk hotel dan restoran berdasarkan sejauh mana ia memenuhi keperluan utama pelancong Muslim, seperti ketersediaan makanan halal, kemudahan solat serta perkhidmatan lain yang selaras dengan tuntutan Islam.
Menurutnya, premis-premis ini menyediakan kemudahan mesra Muslim seperti sejadah, penunjuk arah kiblat dan pilihan hidangan halal atas permintaan, dengan hotel-hotel terpilih turut menawarkan ruang solat khusus.
HKTB turut memaklumkan bahawa susulan sembilan pengiktirafan yang diterimanya pada Halal in Travel Awards 2025, Hong Kong kini memasuki fasa baharu menerusi ekosistem yang diperluas merangkumi infrastruktur yang diperakui halal dan mesra Muslim, selain penglibatan budaya yang kreatif.
"Berdasarkan pengiktirafan ini, Hong Kong akan terus memperluas tawaran mesra Muslimnya," katanya.
-- BERNAMA