PERJUANGAN masyarakat Melayu di tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Yala dan Patani untuk menentukan masa depan sendiri berdepan cabaran besar kerana kegagalan menyatukan pelbagai kumpulan perjuangan di bawah satu agenda, kepimpinan dan identiti bersama.
Keadaan itu dilihat menjadi antara faktor utama yang menyebabkan tuntutan masyarakat Patani masih belum mencapai penyelesaian politik yang menyeluruh walau pun konflik telah berlarutan selama puluhan tahun.
Presiden Pertubuhan Pembebasan Melayu Patani (Pulo), Kasturi Mahkota yang mempunyai pengalaman hampir 50 tahun dalam rundingan berkaitan isu tiga wilayah berkenaan yang dahulunya satu wilayah iaitu Patani, menjelaskan matlamat asas kumpulan-kumpulan perjuangan sebenarnya hampir sama.
Namun, perbezaan istilah dan tuntutan yang dikemukakan secara terbuka menyebabkan pendirian mereka kelihatan berpecah.
"Ada kumpulan yang memperjuangkan autonomi, ada yang mengemukakan gagasan pemerintahan sendiri manakala sebahagian yang lain terus menegaskan tuntutan kemerdekaan" katanya kepada penulis.
Menurut beliau, keadaan itu memberikan ruang kepada kerajaan Thailand untuk berunding dengan kumpulan-kumpulan berkenaan secara berasingan.
Kasturi berpandangan bahawa sekiranya masyarakat Patani benar-benar mahu meningkatkan kedudukan mereka dalam rundingan, perkara paling penting ialah membentuk satu platform bersama yang membawa suara Patani, bukannya mewakili kepentingan organisasi tertentu.
Tiada satu suara
Menurutnya, masalah Patani bukan semata-mata berkaitan kekuatan atau kelemahan perjuangan bersenjata, tetapi turut berpunca daripada ketiadaan struktur politik bersama yang mampu mewakili keseluruhan masyarakat Patani.
Beliau menggariskan sekurang-kurangnya tiga perkara yang perlu diwujudkan.
Pertama, satu gabungan atau front bersama yang membawa isu Patani, bukannya kepentingan mana-mana kumpulan.
Kedua, satu kepimpinan yang mewakili Patani secara keseluruhan, bukan hanya pemimpin bagi organisasi atau gerakan tertentu.
Ketiga, satu identiti atau simbol bersama yang dapat menjadi lambang perjuangan masyarakat Patani.
Katanya, pada masa ini terdapat lambang dan bendera yang dikaitkan dengan kumpulan tertentu tetapi belum wujud satu simbol yang benar-benar diterima sebagai lambang bersama perjuangan penduduk Patani.
“Mana bendera Patani? Mana pemimpin Patani?” katanya sambil menegaskan bahawa persoalan tersebut penting sekiranya wilayah berkenaan mahu mendapatkan sokongan lebih besar daripada masyarakat antarabangsa.
Thailand fokus keselamatan, Patani mahu penyelesaian politik
Perbezaan pendekatan antara Bangkok dengan gerakan perjuangan turut menjadi penghalang kepada penyelesaian konflik.
Menurutnya, Thailand lebih menumpukan aspek keselamatan dan pengurangan keganasan sedangkan pihak perjuangan mahukan penyelesaian yang lebih menyeluruh melalui proses politik.
Perbezaan matlamat itu menyebabkan kedua-dua pihak bergerak dalam arah yang berbeza.
“Thailand mahu ke kanan, gerakan perjuangan mahu ke kiri.
"Selagi kita tidak menyamakan jalan yang hendak dilalui, susah untuk menyelesaikan masalah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keamanan semata-mata tidak mencukupi kerana ia hanya menangani simptom konflik, bukan punca utamanya.
Apa yang diperlukan ialah penyelesaian yang adil, menyeluruh dan berkekalan, yang menurutnya hanya boleh dicapai melalui rundingan politik.
Jangan turunkan tuntutan sebelum Thailand menawarkan sesuatu
Dalam soal tuntutan politik, beliau berpendirian bahawa gerakan Patani tidak seharusnya menurunkan tuntutan mereka terlebih dahulu sebelum kerajaan Thailand mengemukakan tawaran.
Beliau menegaskan bahawa jika tuntutan asal adalah kemerdekaan, ia perlu terus dibawa ke meja rundingan.
Sekiranya Thailand menolak kemerdekaan, persoalannya ialah apakah bentuk penyelesaian yang sanggup ditawarkan oleh Bangkok?
Menurut beliau, tidak wajar pihak Patani sendiri menawarkan autonomi hanya kerana menganggap tuntutan kemerdekaan tidak mungkin diterima oleh Thailand.
“Thailand kata dia tidak bagi kemerdekaan. Kita tanya, apa yang kamu mahu bagi?”
Pendekatan itu, katanya, lebih tepat daripada gerakan Patani sendiri menurunkan tuntutan sebelum mengetahui apa yang sanggup diberikan oleh kerajaan Thailand.
Lima puluh tahun rundingan, hasil masih kecil
Beliau mengakui bahawa rundingan yang berlangsung selama puluhan tahun tetap menghasilkan beberapa perkembangan namun menganggap pencapaiannya masih terlalu kecil berbanding matlamat asal perjuangan.
Jika dinilai pada skala satu hingga lima, beliau meletakkan pencapaian rundingan sekitar satu sahaja.
Bagaimanapun, beliau tidak menganggap rundingan itu gagal.
Sebaliknya, rundingan perlu diteruskan kerana penyelesaian konflik secara politik tidak boleh dicapai dalam tempoh yang singkat.
“Walau makan masa, lama mana pun, rundingan harus diteruskan,” katanya.
Malaysia perlu lebih daripada sekadar fasilitator
Dalam konteks peranan Malaysia, beliau menganggap negara itu mempunyai kedudukan istimewa kerana faktor geografi, keanggotaan ASEAN serta hubungan budaya dan bahasa yang rapat dengan masyarakat Patani.
Namun, beliau mahu peranan Malaysia dinaik taraf daripada fasilitator kepada mediator.
Sebagai fasilitator, Malaysia lebih berperanan membantu kedua-dua pihak berkomunikasi tanpa mempunyai ruang yang besar untuk mengemukakan pandangan atau cadangan substantif.
Sebaliknya, mediator mempunyai peranan yang lebih aktif dalam membantu mencari jalan penyelesaian.
Walau pun begitu, beliau memuji peranan Malaysia setakat ini yang dianggap neutral dalam proses rundingan antara kerajaan Thailand dengan gerakan perjuangan.
Kelemahan terbesar bukan semata-mata kekuatan Thailand
Apa yang paling jelas daripada pandangan tersebut ialah kelemahan Patani bukan semata-mata disebabkan kekuatan kerajaan Thailand. Perpecahan dalaman sendiri menjadi kelemahan strategik yang besar.
Selagi kumpulan-kumpulan perjuangan bergerak dengan organisasi, pemimpin, simbol dan kenyataan politik yang berbeza, sukar untuk masyarakat antarabangsa mengenal pasti pihak yang benar-benar mewakili keseluruhan Patani.
Lebih penting, keadaan itu memberikan kelebihan kepada Bangkok untuk memilih pihak yang mahu dilayan dan pihak yang mahu diketepikan.
Jika hanya satu kumpulan diberikan perhatian dalam rundingan sementara kumpulan lain tidak dilibatkan, suara bersama Patani akan semakin sukar dibentuk.
Patani memerlukan kesatuan sebelum mengharapkan sokongan dunia
Pengajaran paling besar daripada pengalaman konflik di Palestin, Moro dan Timor-Leste yang disentuh dalam wawancara ialah kekuatan perjuangan bukan hanya bergantung kepada kemampuan menekan pihak lawan tetapi juga kepada kemampuan membina kesatuan politik dan identiti bersama.
Patani mungkin mempunyai pelbagai kumpulan dengan sejarah, organisasi dan pendekatan masing-masing.
Namun, jika matlamat akhirnya ialah menentukan masa depan Patani, persoalan paling asas ialah: Siapa yang mewakili Patani?
Jika jawapannya masih berpecah kepada pelbagai organisasi, pemimpin dan tuntutan, maka sukar untuk membina satu suara yang cukup kuat di meja rundingan mahupun di peringkat antarabangsa.
Dalam keadaan itu, Thailand tidak perlu memecahkan Patani.
Perpecahan itu sendiri sudah menjadi kelemahan Patani.
Sebelum menuntut dunia membantu menyelesaikan konflik Patani, masyarakat dan gerakan perjuangan perlu terlebih dahulu menyelesaikan persoalan paling asas dalam perjuangan mereka sendiri — bersatu di bawah satu suara, satu agenda dan satu identiti Patani.
Razali Awang ialah Perunding Media Alkhair Malaysia.
Artikel ini adalah temu ramah Perunding Media Alkhair Malaysia, Razali Awang dengan Presiden Pertubuhan Pembebasan Melayu Patani (Pulo), Kasturi Mahkota.
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.