TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berikrar pada Jumaat untuk menangani isu keselamatan siber di bawah kepimpinan pejabat beliau susulan siri kebocoran data peribadi di syarikat-syarikat seluruh negara akibat aktiviti mencapai tanpa kebenaran, lapor Agensi Berita Kyodo.
Takaichi menyatakan demikian semasa pertemuan dengan ketua ibu pejabat strategi keselamatan siber Parti Demokratik Liberal (LDP), yang mengemukakan cadangan tergempar bagi menangani ancaman serangan siber yang semakin meningkat.
Menyifatkan situasi semasa sebagai "krisis serius", cadangan itu menggesa penubuhan ibu pejabat tindak balas baharu di bawah pejabat perdana menteri serta menggesa kerajaan meredakan kebimbangan awam berhubung serangan siber.
Parti itu turut menggesa pengukuhan asas keupayaan pertahanan siber Jepun menerusi peningkatan kesedaran dalam kalangan eksekutif syarikat, terutamanya syarikat tersenarai, di samping melatih dan menyediakan petugas keselamatan siber profesional.
-- BERNAMA-KYODO