Skip to main content

Dunia

Thailand akan wajibkan piawaian keselamatan bagi kenderaan elektrik

Langkah itu bertujuan membina keyakinan terhadap industri EV Thailand yang sedang berkembang. - Gambar hiasan
Langkah itu bertujuan membina keyakinan terhadap industri EV Thailand yang sedang berkembang. - Gambar hiasan

Advertisement

BANGKOK: Thailand merancang untuk mengenakan piawaian keselamatan mandatori bagi bateri kenderaan elektrik (EV) yang merangkumi aspek pembuatan, pengimportan dan penjualannya, menurut kenyataan kerajaan pada Jumaat.

Langkah itu bertujuan membina keyakinan terhadap industri EV Thailand yang sedang berkembang, lapor Xinhua.

Piawaian terpakai bagi bateri boleh cas semula (selain jenis asid plumbum) yang digunakan dalam kenderaan penumpang dan kenderaan barangan elektrik yang mempunyai sekurang-kurangnya empat roda.

Ia mensyaratkan adanya perlindungan terhadap pengecasan berlebihan, pemanasan melampau dan litar pintas, kata Timbalan Jurucakap Kerajaan, Lalida Periswiwatana.

Di bawah draf peraturan kementerian, pengeluar dan pengimport perlu mendapatkan lesen menurut Akta Piawaian Produk Perindustrian Thailand manakala peruncit hanya dibenarkan menjual produk yang dilesenkan dan memenuhi piawaian itu.

Peraturan ini akan berkuat kuasa 180 hari selepas diterbitkan dalam Warta Diraja. Sektor perniagaan dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan peraturan itu serta membuat persediaan dari segi piawaian produk, ujian, dan keperluan pelesenan, kata Lalida dalam satu kenyataan.

Selain kawalan keselamatan sebelum produk dipasarkan, Kementerian Perindustrian juga diminta mengkaji kaedah untuk menjejak bateri selepas tamat tempoh hayat penggunaannya.

Lalida berkata, cadangan ini masih dalam pertimbangan dan bukan merupakan satu skim pengambilan semula atau kitar semula mandatori.

Kerajaan mahu industri EV Thailand berkembang dengan menitikberatkan kualiti, bukan sekadar meningkatkan kapasiti pengeluaran atau jumlah jualan, katanya.

Beliau berkata, pendekatan ini akan membina keyakinan pengguna, memperkukuh daya saing industri EV negara Asia Tenggara itu, serta memacu ekonomi seiring dengan penjagaan alam sekitar yang mampan.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement