[KOLUMNIS] Venezuela: Mangsa penyangak dunia berpunca kelemahan dalaman berpanjangan
![[KOLUMNIS] Venezuela: Mangsa penyangak dunia berpunca kelemahan dalaman berpanjangan [KOLUMNIS] Venezuela: Mangsa penyangak dunia berpunca kelemahan dalaman berpanjangan](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2026-01/81767906305_NationalAssembly.jpg)
Anggota Dewan Negara Venezuela bersidang di Caracas, Venezuela, 8 Jan 2026. REUTERS
BARU-baru ini, dunia telah dikejutkan oleh tindakan presiden Trump yang mengarahkan pasukan elit tentera Amerika menculik Nicolas Maduro, presiden negara Venezuela dan isteri beliau, dan membawa mereka ke Amerika Syarikat untuk menghadapi beberapa pertuduhan jenayah.
Tindakan tersebut telah dikecam hebat oleh kebanyakan pemimpin dunia, termasuk PMX, kerana bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Di samping itu, ramai tokoh politik di Amerika Syarikat sendiri serta hampir sepertiga daripada rakyat Amerika juga tidak bersetuju dengan tindakan Trump.
Tuduhan bahawa Maduro terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dari Venezuela ke Amerika Syarikat hanyalah alasan untuk Trump melakukan penculikan Maduro. Motif utama beliau ialah mengawal industri minyak Venezuela. Ini kerana Venezuela mempunya rezab minyak yang terbesar di dunia, mengatasi jumlah rezab Arab Saudi. Tambahan pula Venezuela juga sedang membekalkan minyak kepada negara China, yang merupakan pesaing kepada Amerika Syarikat dalam banyak bidang termasuk ekonomi dan ketenteraan. Dengan mengawal industri minyak Venezuela, Amerika Syarikat akan berjaya menyekat pertumbuhan serta kekuatan ekonomi dan ketenteraan China, serta membuka peluang ekonomi yang luas kepada syarikat-syarikat Amerika, terutama sekali dalam sektor minyak dan kewangan.
Setakat ini, Trump masih membenarkan timbalan presiden Venezuela, Delcy Rodriguez, mengambil alih kuasa dan mentadbir negara tersebut. Bahkan ada desas desus menyatakan bahawa Rodriguez sebenarnya adalah seorang pembelot yang secara rahsia bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk menumpaskan Maduro. Ada juga teori yang menyatakan bahawa pemimpin tertinggi ketenteraan Venezuela juga telah dirasuah oleh Amerika Syarikat. Oleh sebab itulah, Delta Forces (pasukan tentera Amerika yang melakukan operasi penculikan) telah berjaya melakukan operasi tersebut dengan begitu mudah tanpa seorang pun ahli pasukannya yang tercedera.
Pada masa yang sama, kita juga perlu tahu bahawa di dalam negara Venezuela sendiri terdapat banyak pihak yang membenci Maduro kerana kegagalan beliau mentadbir negara. Walaupun Venezuela pada tahun 1970-an adalah antara negara Amerika Latin yang paling kaya, namun akibat daripada krisis ekonomi yang berlanjutan, negara tersebut telah menjadi sangat lemah dan miskin.

Menteri Pertahanan Vladimir Padrino Lopez, Menteri Dalam Negeri Diosdado Cabello, Delcy Rodriguez, Nicolas Maduro Guerra (anak Nicolas Maduro) dan Presiden Dewan Negara Jorge Rodriguez, berjalan beriringan di Dewan Negara, Caracas, 5 Jan 2026. REUTERS
Walaupun ada pihak yang menyatakan bahwa krisis ekonomi yang melanda Venezuela adalah semata-mata diakibatkan oleh tindakan sekatan (sanctions) oleh Amerika, namun ramai pakar ekonomi menyatakan bahawa punca utama adalah kesilapan dan kelemahan pemimpin Venezuela sendiri, termasuk kesilapan polisi semasa pentadbiran Hugo Cháves yang memerintah dari tahun 1999 sehingga kematian beliau pada tahun 2013.
Punca utama kepada masalah Venezuela ialah terlalu bergantung kepada sumber minyak serta kegagalan mengusahakan sumber tersebut dengan baik. Industri minyak telah menyumbang lebih 95 peratus daripada pendapatan eksport Venezuela. Ini bukan sahaja menyesakkan industri lain (seperti pertanian dan pembuatan), bahkan menjadikan ekonomi Venezuela sangat terdedah kepada perubahan harga minyak di pasaran antarabangsa.
Di samping itu, Venezuela juga telah gagal menarik pelaburan, sama ada dari dalam mahupun luar negara untuk memastikan sektor minyaknya dapat dimanfaatkan dengan baik. Sejak industri tersebut dinasionalisasikan pada tahun 1970-an, syarikat minyak negara PDVSA telah digunakan sebagai alat politik oleh pemerintah Venezuela, terutama sekali semasa pemerintahan Hugo Chávez dan pengganti beliau Nicolas Maduro.
Sebagai contoh, pengurus dan juruteknik berpengalaman dalam PDVSA telah dipecat atas sebab-sebab politik, dan keuntungan telah dialihkan kepada program sosial dan perbelanjaan kerajaan. Sudah tentu program berbentuk sosialis dan populis ini menambahkan populariti Hugo Cháves dan disukai oleh rakyat Venezuela pada waktu itu. Namun tindakan tersebut tidak baik dalam jangka panjang kerana mengurangkan dana untuk dilaburkan semula dalam penyelenggaraan, teknologi dan penerokaan. Akibatnya berlaku penurunan mendadak dalam pengeluaran — daripada lebih 3 juta tong sehari pada akhir 1990-an kepada sekitar di antara 700,000 sehingga 900,000 tong pada hari ini.
Kebergantungan Venezuela kepada minyak mendedahkan negara tersebut kepada bencana apabila harga minyak antarabangsa jatuh. Ini telah berlaku pada tahun 2014. Apabila harga minyak global menjunam, sumber utama dana kepada kerajaan telah lenyap, dan sekaligus meranapkan sektor ekonomi yang lain.
Malangnya Chávez dan Maduro telah melakukan kesilapan penting dalam usaha menampung defisit akibat kekurangan dana iaitu dengan mencetak wang dalam jumlah yang banyak. Akibatnya berlaku situasi inflasi yang teruk. Antara tahun 2003 dan 2011, kadar inflasi terkumpul ialah 528 peratus. Pada tahun 2012 dan 2013, kadarnya ialah 20 peratus dan 30 peratus. Kemuncaknya ialah pada tahun 2018-2019 iaitu lebih 1 juta peratus, iaitu di antara yang terburuk dalam sejarah dunia, sekaligus memusnahkan simpanan, upah dan nilai mata wang tempatan.
Untuk mengatasi masalah inflasi, Chávez mengenakan langkah kawalan harga dan pertukaran mata wang. Selama beberapa dekad, ia mengenakan kawalan harga yang ketat ke atas barangan asas dan kadar pertukaran rasmi yang tetap dan terlebih nilai. Malangnya ini tidak menyelesaikan masalah, bahkan mewujudkan masalah kekurangan barang asas yang teruk dalam pasaran kerana pengeluar telah mengalami kerugian yang teruk apabila dipaksa menjual pada harga yang diwajibkan, dan oleh itu ramai telah membuat keputusan memberhentikan operasi pengeluaran.

Penyokong kerajaan menyertai perarakan menuju ke pejabat Delcy Rodriguez, beberapa hari selepas AS melancarkan serangan ke atas Venezuela dan menahan Nicolas Maduro serta isterinya Cilia Flores, di Caracas, 6 Jan 2026. REUTERS
Langkah kawalan mata wang asing pula telah mendorong kewujudan pasaran gelap yang meluas. Ini adalah akibat daripada perbezaan yang terlampau luas antara kadar rasmi dan nilai sebenar mata wang Bolíva. Akibatnya pasaran mata wang haram yang besar telah tercipta, yang memperkayakan rangkaian yang korup dan menjadikan barangan import terlampau mahal untuk rakyat biasa.
Dalam usaha untuk memastikan pengeluaran barangan terus berlaku, Chávez, telah memiliknegarakan beratus-ratus syarikat swasta, termasuk dalam sektor penting seperti pertanian, pengedaran makanan dan industri pembuatan. Namun kebanyakan daripada syarikat tersebut telah gagal kerana pengurusan yang tidak cekap. Ini terus melumpuhkan pengeluaran domestik dan menjadikan Venezuela bergantung kepada barangan import yang mahal.
Yang membuat keadaan bertambah teruk ialah sikap pemimpin politik dan pegawai kerajaan yang gemar menyalah guna kuasa dan menerima rasuah. Akibatnya berbilion dolar hasil minyak telah hilang akibat penyelewengan dan rasuah di peringkat tertinggi, selalunya melalui skim pertukaran mata wang yang tidak jelas. Ini telah didokumentasikan secara meluas oleh beberapa NGO dan penyiasatan antarabangsa, termasuk Transparency International.
Dalam usaha menangani penentangan oleh pihak pembangkang, Chávez dan Maduro, semakin hari semakin tidak menghormati kedaulatan undang-undang. Mereka telah melemahkan institusi demokrasi, termasuk badan kehakiman dan kebebasan bank pusat, membolehkan dasar-dasar yang merosakkan ini berterusan tanpa kawalan dan membolehkan rasuah berkembang maju.
Masalah dalaman Venezuela yang teruk itu telah menarik perhatian AS yang sentiasa mencari peluang untuk mengawal negara lain, terutama sekali negara yang beramal dengan sistem sosialis dan mempunyai sumber minyak yang banyak. Oleh itu tidak hairanlah Amerika telah mengenakan sekatan perdagangan dan pelaburan terhadap Venezuela, bermula pada tahun 2015 apabila presiden Obama mengeluarkan perintah presiden pada 9 Mac 2015 yang mengisytiharkan Venezuela sebagai "ancaman kepada keselamatan negara (Amerika Syarikat)", dan mengarahkan Jabatan Perbendaharaan membekukan harta dan aset tujuh pegawai Venezuela yang dipertanggungjawabkan atas pelanggaran hak asasi manusia, penindasan dan sekurang-kurangnya 43 kematian semasa demonstrasi.
Sekatan diperketatkan lagi selepas itu, apabila kerajaan Venezuela dihalang daripada memperolehi dana pinjaman daripada pasaran kewangan Amerika Syarikat. Selain itu, Amerika juga menyekat Venezuela daripada memperdagangkan minyaknya. Yang paling memberi kesan ialah pada tahun 2019, di mana Amerika melaksanakan dasar untuk mengharamkan semua transaksi dengan PDVSA.
Walaupun kerajaan Venezuela serta penyokong mereka menyatakan bahawa punca segala masalah ekonomi negara itu adalah akibat sekatan oleh Amerika, namun seperti yang telah dijelaskan, sebenarnya krisis ekonomi Venezuela bermula lebih awal lagi akibat daripada kelemahan dan kesilapan polisi Hugo Chávez sendiri. Sekatan hanyalah faktor yang memburukkan lagi keadaan kerana secara mendadak mengurangkan keupayaan kerajaan Venezuela untuk menjana pendapatan minyak dan mengakses pembiayaan antarabangsa, sekaligus mempercepatkan keruntuhan ekonomi dan menghalang sebarang potensi pemulihan.
Masalah dalaman dalam bentuk kebuntuan politik yang berpanjangan sejak 2013 (pilihan raya yang dipertandingkan, pembubaran Dewan Undangan Negeri, penubuhan kerajaan selari pada 2019) menyebabkan kehilangan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa sepenuhnya terhadap Venezuela. Pengaliran keluar dana modal terus berlaku secara besar-besaran, dan tiada pelaburan asing yang ketara datang melabur selama bertahun-tahun.
Akibat daripada semua masalah ekonomi yang teruk, Venezuela telah mengalami krisis kemanusiaan dalam bentuk kemiskinan melampau, di mana lebih 90 peratus penduduknya hidup dalam kemiskinan. Ramai penduduk telah mengalami masalah ketidakamanan makanan. Golongan termiskin mengalami masalah kekurangan zat makanan yang meluas dan bergantung kepada skim kotak makanan kerajaan (CLAP) yang terhad.
Perkhidmatan awam, termasuk bekalan elektrik dan air telah runtuh. Di samping itu, ubat-ubatan dan bekalan perubatan juga terjejas serius. Kecewa dengan keadaan kehidupan yang teruk, lebih daripada 7.5 juta rakyat Venezuela telah berpindah keluar, kebanyakannya ke negar-negara jiran termasuk juga ke Amerika Syarikat.
Secara ringkasnya, kes Venezuela pada asasnya adalah bermula dengan keruntuhan yang disebabkan oleh kesilapan dalaman yang disusuli dengan keadaan ketidakstabilan ekonomi jangka panjang, yang kemudian diterukkan lagi oleh masalah jenayah oleh kumpulan penjenayah dan pemimpin politik yang menyalah guna kuasa. Keadaan yang teruk ini telah membuka peluang kepada Amerika Syarikat untuk menjajah negara tersebut secara tidak langsung.
Venezuela telah diberi amaran oleh Trump bahawa Amerika akan mentadbir Venezuela dan industri minyaknya akan dijalankan oleh syarikat-syarikat minyak Amerika Syarikat. Syarikat kewangan Amerika yang sedang dikawal oleh pihak Zionis juga akan terlibat secara langsung dalam ekonomi Venezuela di masa akan datang. Tidak hairanlah mengapa Delsy Rodriguez, yang sedang memimpin Venezuela kini telah mengubah nada pendiriannya yang sekarang dilihat lebih lunak kepada Amerika.
Kita juga perlu sedar bahawa tokoh pembangkang Venezuela, Machado yang merupakan penyokong kuat kepada Zionis Israel, sedang dalam usaha mengambil alih tampuk kepimpinan negara. Beliau juga telah diberi hadiah Nobel keamanan baru-baru ini.
Pengajaran utama yang boleh diambil daripada kes Venezuela ini ialah jika pemimpin sesebuah negara gagal melaksanakan polisi yang boleh menjamin kestabilan politik dan ekonomi jangka panjang, ia akan senang menjadi mangsa kepada negara penyangak seperti Amerika Syarikat, Israel dan negara-negara Barat yang lain. Kesemua negara-negara berkenaan juga sedang menghadapi masalah ekonomi dan kewangan yang juga diakibatkan oleh kerakusan golongan elit politik dan kewangan mereka sendiri. Oleh yang demikian, mereka akan sentiasa mencari peluang untuk mencuri sumber-sumber dari negara-negara yang gagal ditadbir dengan baik dan sedang mengalami masalah ekonomi, politik dan sosial. Persoalan utama ialah adakah negara kita sendiri sedang ditadbir dengan baik dari aspek politik, ekonomi dan sosial yang boleh menjamin kita akan selamat daripada menjadi mangsa kerakusan negara-negara penyangak ini?
* Penulis ialah Profesor Emeritus di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya
** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


