TIADA pihak yang tergesa-gesa untuk mengiktiraf Taliban sebagai kerajaan Afghanistan.

Perkara itu dinyatakan Duta Besar Rusia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Vassily Nebenzia, sekali gus memberi isyarat Moscow belum mahu mengiktiraf Taliban sebagai kerajaan rasmi di PBB.

Beliau juga berkata, sekatan PBB dan unilateral ke atas pemimpin Taliban perlu ditangani.

Kata Nebenzia, persoalan pengiktirafan akan timbul apabila masyarakat antarabangsa memastikan janji dan komitmen yang diumumkan pihak berkuasa akan ditunaikan.

Beliau merujuk kepada ikrar Taliban yang dibuat sejak kumpulan itu menggulingkan kerajaan yang disokong Barat pada pertengahan Ogos.

Ini termasuk menegakkan hak asasi manusia, terutamanya bagi wanita dan kanak-kanak perempuan, dan memerangi keganasan serta dadah.

PBB sedang mempertimbangkan tuntutan saingan mengenai siapa yang harus mewakili Afghanistan.

Taliban mencalonkan jurucakap mereka yang berpangkalan di Doha, Suhail Shaheen sebagai Duta PBB, manakala Ghulam Isaczai, utusan PBB yang mewakili kerajaan yang digulingkan oleh Taliban, sedang berusaha untuk kekal di kerusi negara itu.

Jawatankuasa Kelayakan PBB sembilan anggota, termasuk Rusia, China Dan Amerika Syarikat akan mempertimbangkan tuntutan saingan Afghanistan bulan depan dan keputusan mungkin akan dibuat sebelum akhir tahun.

Afghanistan meletakkan aset berbilion dolar di luar negara dengan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dan bank pusat lain di Eropah, tetapi wang itu telah dibekukan sejak Taliban berkuasa.

Ini menyebabkan penyaluran bantuan tunai kepada Afghanistan terjejas.