Skip to main content

Malaysia

Isu parkir: Malaysia Airports nasihat pengembara rancang perjalanan lebih awal

Sumber: BERNAMA
Malaysia Airports menasihati para pengembara supaya merancang perjalanan lebih awal susulan kadar penggunaan yang tinggi di kawasan parkir jangka pendek sempena musim cuti panjang ini. - Gambar fail Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia Airports menasihati para pengembara supaya merancang perjalanan lebih awal susulan kadar penggunaan yang tinggi di kawasan parkir jangka pendek sempena musim cuti panjang ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Malaysia Airports memaklumkan, petugas akan mengarahkan pemandu ke kawasan parkir lain yang masih mempunyai kekosongan sekiranya sesuatu tempat letak kereta telah penuh.

“Penumpang yang telah membuat tempahan parkir lebih awal boleh terus memasuki kawasan itu seperti biasa,” menurut hantaran itu.

Malaysia Airports turut menggalakkan penumpang menyemak ketersediaan parkir melalui portal tempahan dalam taliannya, iaitu parking.malaysiaairports.com.my sebelum ke lapangan terbang bagi membantu mengurangkan kesesakan dan memastikan perjalanan yang lebih lancar.

Pengendali lapangan terbang negara itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai atas kesabaran dan sikap memahami mereka sepanjang tempoh cuti yang sibuk ini.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement