NEW YORK: Konflik di Asia Barat memberi kesan besar terhadap operasi bantuan di seluruh rantau itu, apabila gangguan terhadap laluan perkapalan dan perjalanan menjejaskan rantaian bekalan bantuan, menurut petugas kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu, lapor Agensi Berita Xinhua.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) berkata gangguan itu turut mengekang pergerakan petugas bantuan dan berisiko memburukkan lagi ketidakjaminan makanan di banyak kawasan.
Advertisement
OCHA memaklumkan yang pihak berkuasa Lubnan melaporkan lebih 50 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera dalam tempoh dua hari lalu.
Serangan udara meluas oleh Israel menyasarkan selatan Lubnan, Baalbek, Chouf serta pinggir selatan Beirut, mengakibatkan lebih banyak kematian serta kemusnahan besar.
Tiga petugas paramedik maut manakala enam lagi cedera ketika bertindak balas terhadap satu serangan udara pada Selasa.
“Orang awam terus melarikan diri, sering kali hanya sehelai sepinggang dan apa yang mereka mampu bawa,” menurut pejabat itu.
“Sejak konflik tercetus, sekurang-kurangnya 80,000 orang mendapatkan perlindungan di pusat perlindungan bersama, menurut pihak berkuasa. Namun angka ini hanya sebahagian kecil daripada jumlah sebenar mereka yang terpaksa berpindah.”
Arahan pemindahan paksa terus dikeluarkan, termasuk pada Rabu yang meliputi seluruh kawasan di selatan Litani River, yang menjadi tempat tinggal ratusan ribu penduduk.
“Menurut OCHA, rakan kemanusiaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa nasional dan tempatan.
“Pasukan tindak balas pantas sedang menilai keperluan serta mengagihkan bekalan kecemasan di kawasan terjejas dan pusat perlindungan. Setakat ini, rakan yang terlibat dalam keselamatan makanan menyalurkan hidangan panas kepada lebih 20,000 orang yang dipindahkan serta makanan sedia dimakan kepada lebih 15,000 orang.”
Pejabat itu berkata rakan kesihatan mereka, bersama Kementerian Kesihatan Awam Lubnan, menyediakan ubat-ubatan dan meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer bergerak di pusat perlindungan dan lokasi lain.
Rakan dalam sektor air dan sanitasi turut menyokong operasi berterusan kemudahan air dan kumbahan kritikal, termasuk dengan menyediakan bahan api.
Di Semenanjung Gaza pula, OCHA berkata walaupun petugas bantuan terus mendesak agar sekatan penghantaran bantuan ditarik balik, mereka melaporkan penyelarasan pergerakan kemanusiaan dengan pihak berkuasa Israel di Gaza disambung semula susulan permusuhan di Asia Barat.
Pejabat itu memaklumkan rakan mereka berjaya menyelaraskan tiga misi pada Rabu ke pintu sempadan Kerem Shalom bagi mengambil kargo serta memantau operasi di situ.
OCHA mahu lebih banyak pintu masuk perlu dibuka dan aliran bekalan yang berterusan, termasuk bahan api, dibenarkan memasuki Gaza secara selamat dan konsisten agar agensi bantuan dapat terus meningkatkan operasi kemanusiaan.
-- BERNAMA-XINHUA