TEHRAN: Iran secara rasmi menggantung semua eksport produk petrokimia buat sementara waktu berikutan kerosakan infrastruktur akibat serangan udara serta keperluan untuk menstabilkan pasaran domestik.
Arahan tersebut dikeluarkan oleh Pengarah Pembangunan Industri Hiliran Syarikat Petrokimia Kebangsaan (NPC) Iran, Mohammad Mottaghi, melalui satu surat rasmi kepada semua ketua pegawai eksekutif kompleks petrokimia di negara berkenaan.
Advertisement
Langkah drastik itu diambil selepas hab pengeluaran utama di Asaluyeh dan Mahshahr mengalami kerosakan dalam beberapa siri serangan udara, yang dilaporkan telah melumpuhkan unit utiliti pembekal bahan mentah kepada loji petrokimia.
Selain faktor kerosakan, larangan eksport itu bertujuan untuk memberikan keutamaan kepada bekalan industri hiliran tempatan bagi mengelakkan krisis kekurangan bahan mentah serta mengawal turun naik harga di pasaran dalaman Iran.
Kerajaan Iran turut menetapkan harga produk petrokimia domestik pada paras sebelum konflik bagi melindungi pengguna dan industri tempatan daripada kesan lonjakan harga global.
Susulan arahan itu, firma petrokimia diminta membatalkan semua penghantaran antarabangsa serta-merta dan memulangkan semula kargo eksport yang masih berada di pelabuhan.
Penggantungan eksport oleh Iran, yang merupakan antara pengeksport petrokimia terbesar dunia, dijangka memberi kesan rantaian kepada pasaran polimer, baja dan plastik global, terutamanya di rantau Asia serta Eropah.
Langkah ini juga dilakukan ketika tentera Amerika Syarikat mula memperketatkan sekatan terhadap lalu lintas perkapalan di pelabuhan Iran bagi mengurangkan hasil pendapatan luar negara Tehran.