Skip to main content

Malaysia

Malaysia, Singapura perkukuh kerjasama industri Penyelesaian Pertikaian Alternatif

Azalina Othman Said
BHEUU dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama itu susulan siri perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Undang-Undang serta Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura Edwin Tong sejak Forum Undang-Undang ASEAN 2025 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Undang-Undang Komanwel 2026. - Foto Facebook BHEUU

PUTRAJAYA: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (Malaysia) (AIAC) terus memperkukuh kerjasama strategik Malaysia dan Singapura dalam industri Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) bagi memperkasakan penyelesaian pertikaian rentas sempadan serta pembangunan ekosistem ADR serantau.

BHEUU dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama itu susulan siri perbincangan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Undang-Undang serta Menteri Kedua Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura Edwin Tong sejak Forum Undang-Undang ASEAN 2025 dan Mesyuarat Menteri-Menteri Undang-Undang Komanwel 2026.

"Dalam pertemuan terbaharu, kedua-dua pihak membincangkan pengukuhan kerangka pengantaraan, penyelesaian pertikaian komersial rentas sempadan, pembangunan kapasiti profesional serta perkongsian amalan terbaik dalam industri ADR. 

"Perbincangan turut merangkumi usaha Malaysia membangunkan standard akreditasi pengantara yang lebih tersusun dan seragam dengan mengambil kira pengalaman serta amalan terbaik Singapura," menurut kenyataan itu.

BHEUU memaklumkan kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai ratifikasi Konvensyen Singapura dan usaha mempromosikan pengantaraan di peringkat antarabangsa.

Sebagai langkah memperkukuh kerjasama institusi, kenyataan itu memaklumkan AIAC telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (SIAC) dan Pusat Pengantaraan Antarabangsa Singapura (SIMC), yang disaksikan oleh kedua-dua menteri.

"MoU ini akan memperluas kerjasama dalam promosi timbang tara antarabangsa dan pengantaraan, termasuk penganjuran program serta persidangan profesional di kedua-dua negara," menurut kenyataan itu.

BHEUU memaklumkan delegasi Malaysia turut mengadakan sesi libat urus dengan Institut Pengantaraan Antarabangsa Singapura (SIMI) dan Unit Pengantaraan Komuniti (CMU) bagi meneliti pendekatan terbaik dalam akreditasi profesional, pembangunan kompetensi pengantara serta pemerkasaan ekosistem pengantaraan.

Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju secara prinsip untuk meneroka penganjuran bersama forum ADR di Kuala Lumpur dan Singapura sebagai platform kerjasama antara penggubal dasar, institusi ADR dan pemain industri serantau.

Menurut kenyataan itu, Kerajaan MADANI kekal komited memperkukuh ekosistem penyelesaian pertikaian negara melalui pendekatan ADR yang moden, efektif dan mesra pelabur selaras dengan agenda reformasi institusi serta usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab ADR terkemuka di Asia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement