ISTANBUL: Iran telah mengemukakan "rangka kerja yang boleh dilaksanakan" kepada Pakistan yang bertujuan menamatkan perang secara kekal, kata Menteri Luar, Abbas Araghchi pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam catatan di X, selepas lawatan ke Pakistan, Araghchi berkata, perbincangan tertumpu pada usaha memulihkan kestabilan di rantau itu dan menamatkan konflik.
Advertisement
"Kami berkongsi pendirian Iran mengenai rangka kerja yang boleh dilaksanakan untuk menamatkan perang ke atas Iran secara kekal," katanya tanpa memberikan butiran lanjut.
Araghchi menyifatkan lawatan (ke Pakistan) itu sebagai "sangat membuahkan hasil," memuji peranan Pakistan dalam memudahkan dialog dan "usaha persaudaraan" untuk membantu membawa keamanan kembali ke rantau ini.
Beliau juga menyatakan keraguan tentang niat Washington.
"Belum terlihat sama ada Amerika Syarikat (AS) benar-benar serius mengenai diplomasi," katanya.
Pakistan telah bertindak sebagai perantara antara Tehran dan Washington di tengah-tengah ketegangan yang berterusan berikutan peningkatan ketenteraan baru-baru ini.
Araghchi tiba di Pakistan lewat Jumaat dan bertemu Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di Islamabad pada Sabtu, dalam usaha menghidupkan semula rundingan damai antara AS dan Iran untuk menamatkan perang lapan minggu.
Beliau juga akan pergi ke Muscat dan Moscow.
Pusingan pertama rundingan damai diadakan di Islamabad dua minggu lepas namun gagal mencapai kata putus untuk menamatkan konflik yang bermula pada 28 Feb.
Presiden AS, Donald Trump pada Sabtu berkata beliau telah membatalkan perjalanan Utusan Khas Steve Witkoff dan penasihat Jared Kushner ke Pakistan untuk rundingan berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU