Skip to main content

Malaysia

UPSI, PSM meterai MoU perkasa pembangunan sepak takraw negara

FB Universiti Pendidikan Sultan Idris
Dr Md Amin berkata, pemeteraian MoU itu bakal membuka lebih banyak peluang kepada atlet sepak takraw negara melanjutkan pengajian di institusi itu. - Gambar Facebook Universiti Pendidikan Sultan Idris
Advertisement

IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan khidmat masyarakat.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pemeteraian MoU itu bakal membuka lebih banyak peluang kepada atlet sepak takraw negara melanjutkan pengajian di institusi itu.

Beliau berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong pembangunan modal insan negara menerusi gabungan kecemerlangan akademik dan sukan.

“UPSI komited menawarkan peluang pendidikan kepada atlet-atlet di bawah PSM pada semua peringkat pengajian, tertakluk kepada kelayakan akademik, selain menyediakan fleksibiliti jadual yang selaras dengan keperluan latihan dan pertandingan mereka.

“Kerjasama ini bukan sekadar sebuah dokumen simbolik, sebaliknya akan diterjemahkan melalui pelan tindakan yang konkrit dan berimpak tinggi demi manfaat kedua-dua institusi serta pembangunan sukan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Amin berkata UPSI turut bersedia berkongsi kepakaran dalam bidang teknikal, kejurulatihan, kepegawaian dan teknologi sukan, selain menyediakan kemudahan serta sumber yang diperlukan bagi memastikan pelaksanaan kerjasama itu dipantau secara berterusan.

Beliau berkata MoU berkenaan yang berkuat kuasa selama tiga tahun dan boleh dilanjutkan atas persetujuan bersama dijangka menjadi pemangkin kepada pelaksanaan Memorandum Perjanjian (MoA) yang lebih terperinci pada masa hadapan.

Md Amin berkata MoU yang ditandatangani di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI di Tanjong Malim turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, perkongsian kepakaran teknikal dan sains sukan serta penyediaan pusat latihan kebangsaan bagi sukan sepak takraw.

Sementara itu, Naib Presiden PSM Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata kerjasama tersebut akan menyediakan laluan pendidikan formal yang lebih terjamin kepada atlet sepak takraw negara dan negeri, termasuk daripada Sekolah Sukan Malaysia serta Sekolah Sukan Negeri.

“Gabungan kepakaran sains sukan UPSI dan pengalaman teknikal PSM diyakini mampu mempercepat pembangunan bakat, jurulatih dan pegawai teknikal bertauliah dalam sukan sepak takraw," katanya dalam kenyataan sama.

Beliau turut berharap MoU berkenaan dapat menjadi model rujukan kepada kerjasama strategik antara badan sukan kebangsaan dan institusi pengajian tinggi lain di negara ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement