Skip to main content

Malaysia

Menteri Pendidikan, YGTHO selesaikan kos pembedahan remaja perempuan hidap skoliosis

Caption IPOH, 14 Julai -- Bapa, Reduan Saad, 41, menerangkan tentang keadaan kesihatan anak perempuannya, Arissa El Zahra Reduan, 13, yang memerlukan bantuan sebanyak RM10,000 bagi membolehkan anaknya menjalani pembedahan skoliosis pada 8 Sept di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) ketika ditemui di Taman Utama Bercham hari ini.  Beliau berkata, dia hanya menyedari Arissa menghidap penyakit itu ketika Arissa berusia 10 tahun selepas mendapati kedua-dua bahu anaknya tidak seimbang dan tulang belakangnya m
Fadhlina berkata beliau dan YGTHO telah menyelesaikan kos pembedahan untuk Arissa El Zahra. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

IPOH: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) menyumbang RM10,000 bagi menampung kos pembedahan skoliosis seorang remaja, Arissa El Zahra Reduan yang dijangka dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 8 Sept ini.

Fadhlina dalam kenyataan di laman Facebook hari ini berkata beliau dan YGTHO telah menyelesaikan kos pembedahan untuk Arissa El Zahra, 13.

"Hati siapa tidak terkesan pilu apatah lagi melihat wajah seorang anak yang cukup bersemangat mahu terus ke sekolah. Alhamdulillah, saya dan YGTHO telah menyelesaikan kos rawatan/ pembedahan untuk anakanda Arissa.

"Semoga anakanda Arissa terus diberikan kesembuhan dan ‘afiyah’ serta dipermudahkan urusan selepas pembedahan kelak. Terima kasih kepada rakan-rakan media yang telah menjadi penghubung kami dengan masyarakat," katanya.

Terdahulu, Fadhlina turut memuat naik video pendek beliau mengadakan panggilan video bersama Arissa El Zahra dan ibu remaja itu bagi menyampaikan berita gembira tersebut.

"Insya-Allah, maknanya kita nak bantu kakak (Arissa El Zahra) untuk uruskan pembedahan...kita akan bagi RM10,000 untuk kakak supaya dipermudahkan urusan, kakak pun bertambah sihat, sembuh, dan kita nak kakak terus pergi sekolah dengan kawan-kawan semua, jadi tak payah susah hati," kata Fadhlina dalam panggilan video tersebut.

Beliau berkata pihaknya menguruskan bantuan segera bagi memastikan rawatan terbaik buat Arissa El Zahra.

"Semoga pembedahan yang akan dijalani pada September nanti berjalan lancar dan anakanda Arissa akan diberi kesembuhan sepenuhnya. Teruskan berdoa dan terus bersemangat," katanya.

Semalam, Bernama melaporkan bapa kepada Arissa El Zahra, Reduan Saad, 41, memaklumkan anak perempuannya itu memerlukan sumbangan RM10,000 bagi menampung kos pembedahan skoliosis di HRPB di sini pada 8 Sept ini. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement