Skip to main content

Malaysia

Malaysia perlu percepat reformasi dasar hadapi negara menua - MyAgeing

51729252662_wargaemas.jpg
Menurut Sen Tyng, kelewatan reformasi bukan berpunca daripada ketiadaan dasar, sebaliknya tahap kesedaran masyarakat dan pemegang taruh terhadap keperluan perubahan masih rendah - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempercepat reformasi dasar berkaitan penuaan penduduk, termasuk sistem pencen, perlindungan sosial dan penjagaan jangka panjang, bagi memastikan negara bersedia menghadapi status negara menua menjelang 2030.

Pegawai Penyelidik Kanan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing), Chai Sen Tyng berpandangan, walaupun Malaysia telah memperkenalkan Dasar Warga Tua Negara sejak 1995, diikuti Dasar Warga Emas Negara pada 2011, pelaksanaan penambahbaikan dasar dan sistem sokongan masih bergerak pada kadar yang perlahan.

"Terdapat beberapa penambahbaikan seperti peningkatan Bantuan Warga Emas kepada RM600 sebulan, pengenalan kerangka ekonomi penjagaan dan penambahbaikan Akta 802.

"Tetapi saya rasa banyak usaha dari segi dasar, program dan perkhidmatan oleh kerajaan untuk warga emas namun tidak menyentuh beberapa perkembangan dan perkara pokok," katanya dalam program Agenda AWANI yang disiarkan pada Rabu.

Menurut Sen Tyng, kelewatan reformasi bukan berpunca daripada ketiadaan dasar, sebaliknya tahap kesedaran masyarakat dan pemegang taruh terhadap keperluan perubahan masih rendah.

Beliau berkata antara isu utama yang perlu diberi perhatian ialah pembaharuan sistem pencen negara yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), namun masih kurang difahami dan dibincangkan secara meluas oleh masyarakat.

"Apa yang kita cuba nyatakan di sini ialah, perubahan-perubahan yang diperlukan adalah mendesak. Sudah lama kita tidak berubah dari segi system pembiayaan persaraan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Jika dibandingkan dengan Singapura yang bermula hampir pada tempoh sama, negara itu kini mempunyai skim pencen minimum yang dijamin kerajaan menerusi CPF Life," katanya.

Beliau turut menegaskan keperluan mewujudkan sistem penjagaan jangka panjang yang lebih menyeluruh berikutan peningkatan bilangan warga emas yang memerlukan perkhidmatan penjagaan di rumah dan komuniti.

Katanya, Malaysia masih belum mempunyai sistem pemantauan dan kawal selia yang komprehensif bagi memastikan mutu perkhidmatan penjagaan jangka panjang.

Mengulas cadangan penubuhan Suruhanjaya Warga Emas dan penggubalan Akta Warga Emas pula, Sen Tyng menyifatkan usaha itu sebagai perkembangan positif yang selari dengan perubahan demografi negara.

Beliau berkata kerajaan kini mempunyai beberapa pilihan pendekatan, sama ada menggubal akta yang merangkumi pelbagai aspek kebajikan warga emas atau memberi keutamaan kepada undang-undang khusus bagi menangani isu penderaan, pengabaian dan eksploitasi golongan itu.

 

Must Watch Video

Advertisement