TEHRAN: Iran pada Ahad mengesahkan pihaknya telah menerima maklum balas Amerika Syarikat (AS) terhadap cadangan terbaharu Tehran bagi mengadakan rundingan damai, sehari selepas Presiden Donald Trump berkata, beliau berkemungkinan besar menolak cadangan itu kerana Iran didakwa “belum membayar harga yang cukup setimpal.”
Media rasmi Iran melaporkan, Washington menyampaikan respons berkenaan terhadap cadangan 14 perkara Iran melalui Pakistan, dan Tehran kini sedang menelitinya.
Advertisement
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada Washington atau Islamabad berhubung maklum balas AS itu.
“Buat masa ini, tiada rundingan berkaitan isu nuklear,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, seperti dipetik media negara itu.
Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada cadangan Iran untuk mengetepikan rundingan berkaitan isu nuklear sehingga selepas perang tamat serta kedua-dua pihak bersetuju menamatkan sekatan terhadap perkapalan di Teluk.
Pada Sabtu, Trump berkata, beliau masih belum meneliti teks penuh cadangan damai Iran, namun menjangkakan untuk menolaknya.
“Saya akan meneliti cadangan yang baru dihantar Iran kepada kami, tetapi saya sukar membayangkan ia boleh diterima kerana mereka belum lagi membayar harga yang cukup besar atas apa yang telah mereka lakukan terhadap kemanusiaan dan dunia sepanjang 47 tahun lalu,” tulisnya di media sosial.
Selat Hormuz masih tertutup
AS dan Israel menggantung kempen pengeboman terhadap Iran empat minggu lalu, dan pegawai kedua-dua negara hanya sempat mengadakan satu pusingan rundingan.
Namun, usaha mengatur rundingan susulan setakat ini masih gagal.
Iran menyerahkan cadangan terbaharunya pada Khamis lalu dan seorang pegawai kanan Iran mengesahkan pada Sabtu bahawa Tehran menyasarkan penamatan perang serta penyelesaian kebuntuan perkapalan terlebih dahulu, sebelum isu program nuklear dibincangkan pada peringkat seterusnya.
Walaupun Trump pada Jumaat menyatakan rasa tidak puas hati terhadap cadangan Iran, beliau berkata pada Sabtu bahawa cadangan itu masih sedang diteliti.
“Mereka menerangkan kepada saya konsep perjanjian itu. Sekarang mereka akan memberikan saya teks penuh cadangan tersebut,” katanya kepada wartawan.
Apabila ditanya sama ada beliau mungkin menyambung semula serangan terhadap Iran, Trump berkata: “Saya tidak mahu mengatakannya. Saya tidak boleh beritahu perkara itu kepada wartawan. Jika mereka bertindak melampau atau melakukan sesuatu yang buruk, kita akan lihat nanti. Tetapi ia satu kemungkinan.”
Percanggahan tuntutan Iran dan Washington
Cadangan Iran untuk menangguhkan rundingan berkaitan isu nuklear ke peringkat seterusnya nyata bercanggah dengan tuntutan berulang Washington yang mahu Tehran menerima sekatan ketat terhadap program nuklearnya sebelum perang dapat ditamatkan.
AS menuntut Iran menyerahkan stok lebih 400 kilogram uranium diperkaya tahap tinggi, yang menurut Washington boleh digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear.
Iran menegaskan, program nuklearnya adalah untuk tujuan aman, namun bersedia membincangkan sekatan tertentu sebagai balasan kepada penghapusan sekatan ekonomi, sebagaimana dipersetujui dalam perjanjian 2015 yang kemudiannya ditarik diri oleh Trump.
Walaupun berulang kali menegaskan beliau tidak tergesa-gesa, Trump berdepan tekanan politik dalam negara untuk memecahkan cengkaman Iran ke atas Selat Hormuz, yang menjejaskan hampir 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia serta mendorong kenaikan harga petrol di AS.
Parti Republikan pimpinan Trump turut berisiko berdepan kemarahan pengundi susulan kenaikan harga menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres pada November.
Media Iran melaporkan cadangan 14 perkara Tehran merangkumi pengunduran tentera AS dari kawasan sekitar Iran, penamatan sekatan, pembebasan aset Iran yang dibekukan, pembayaran pampasan, penghapusan sekatan ekonomi, penamatan perang di semua medan konflik termasuk Lubnan, serta penubuhan mekanisme kawalan baharu bagi Selat Hormuz.
Iran telah menyekat hampir semua laluan perkapalan dari Teluk Parsi kecuali kapal miliknya sejak lebih dua bulan lalu.
Bulan lepas, AS pula mengenakan sekatan terhadap kapal dari pelabuhan Iran.
Bercakap secara sulit, pegawai kanan Iran itu berkata, Tehran percaya cadangan terbaharu untuk menangguhkan rundingan nuklear ke peringkat akhir merupakan satu perubahan besar bagi memudahkan perjanjian dicapai.
“Di bawah kerangka ini, rundingan mengenai isu nuklear yang lebih rumit dipindahkan ke peringkat akhir bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif,” katanya.
Israel arah pemindahan di selatan Lubnan
Pada Ahad, Israel mengarahkan ribuan penduduk Lubnan meninggalkan kampung-kampung di selatan negara itu, sekali gus meningkatkan ketegangan dalam konflik antara Israel dan sekutu Iran, Hezbollah - yang berjalan seiring dengan perang melibatkan Iran dan berpotensi merumitkan lagi usaha damai serantau.
Iran sebelum ini menyatakan rundingan dengan Washington tidak boleh disambung selagi gencatan senjata di Lubnan tidak dipatuhi.
Israel menceroboh Lubnan pada Mac lalu bagi menyerang Hezbollah selepas kumpulan disokong Iran itu melancarkan serangan rentas sempadan sebagai sokongan kepada Tehran.
Walaupun Israel dan Lubnan bersetuju melaksanakan gencatan senjata berasingan bulan lalu, pertempuran masih berterusan, biarpun pada skala lebih kecil.
Pada Ahad, tentera Israel mengeluarkan amaran kecemasan kepada penduduk di 11 bandar dan kampung di selatan Lubnan supaya mengosongkan kediaman masing-masing dan berpindah sekurang-kurangnya 1,000 meter ke kawasan terbuka.
Tentera Israel memaklumkan, operasi dijalankan terhadap Hezbollah susulan dakwaan pelanggaran gencatan senjata, sambil memberi amaran bahawa sesiapa yang berada berhampiran anggota atau kemudahan Hezbollah berisiko terdedah kepada bahaya. - Agensi