Skip to main content

Dunia

Bekas Datuk Bandar New York, Rudy Giuliani dirawat di hospital dalam keadaan kritikal

FILE - Former NYC mayor Rudy Giuliani participates in a ceremony commemorating the anniversary of the 9-11 terror attacks in New York, Thursday, Sept. 11, 2025. (AP Photo/Seth Wenig,File)
Rudy Giuliani kini dirawat di hospital dalam keadaan kritikal namun stabil. - Gambar fail AP

WASHINGTON: Bekas Datuk Bandar New York, Rudy Giuliani kini dirawat di hospital dalam keadaan kritikal namun stabil, menurut jurucakapnya pada Ahad.

Jurucakap Giuliani, Ted Goodman berkata, bekas tokoh politik itu menunjukkan ketabahan luar biasa ketika menerima rawatan.

Advertisement

“Datuk Bandar Giuliani merupakan seorang pejuang yang sentiasa menghadapi setiap cabaran hidup dengan kekuatan luar biasa, dan beliau kini berjuang dengan semangat yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di platform X.

Namun, kenyataan itu tidak memperincikan punca kemasukan Giuliani ke hospital. Giuliani kini berusia 81 tahun.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menerusi hantaran di Truth Social, menyifatkan Giuliani sebagai seorang “pejuang sejati dan Datuk Bandar terbaik dalam sejarah Bandar Raya New York.”

“Adalah satu tragedi apabila beliau diperlakukan sebegitu buruk oleh golongan kiri radikal dan Demokrat. Dia betul tentang segalanya. Mereka menipu dalam pilihan raya, mereka-reka ratusan cerita, dan melakukan apa sahaja untuk memusnahkan negara ini. Dan kini, lihatlah apa yang berlaku kepada Rudy. Sangat menyedihkan,” kata Trump dalam hantaran berkenaan.

Giuliani yang pernah menjadi peguam peribadi Trump, dikenali sebagai “Datuk Bandar Amerika” susulan kepimpinannya semasa serangan pengganas 11 September 2001. 

Namun, beliau berdepan pelbagai masalah perundangan dan kewangan sejak Pilihan Raya Presiden 2020.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan jenayah peringkat negeri berkaitan usaha mencabar keputusan pilihan raya di Arizona. 

Pendakwa raya menggugurkan kes serupa terhadapnya di Georgia tahun lalu.

Dua bekas petugas pilihan raya Georgia, Ruby Freeman dan Shaye Moss, turut memperoleh penghakiman saman fitnah bernilai AS$148 juta terhadap Giuliani susulan dakwaan palsu yang dikaitkan dengannya selepas pilihan raya 2020.

Bagaimanapun, Giuliani masih menerima sokongan Trump, termasuk pelantikannya ke sebuah majlis penasihat dalam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat pada Jun lalu.

Pada Ogos lalu, Giuliani pernah dimasukkan ke hospital selepas cedera dalam kemalangan jalan raya di New Hampshire. 

Polis memaklumkan tiga individu, termasuk Giuliani, dibawa ke hospital dengan kecederaan tidak mengancam nyawa.

Pada 2020, Giuliani juga pernah dirawat selama empat hari di hospital selepas dijangkiti COVID-19. - Agensi

Must Watch Video