TEHRAN: Iran dilaporkan telah menghantar satu pelan 14 perkara kepada Amerika Syarikat (AS) yang memfokuskan usaha “menamatkan perang” di semua medan konflik, termasuk di Lubnan, menurut laporan agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim.
Laporan itu menyatakan cadangan Iran dikemukakan selepas AS menghantar satu pelan rundingan sembilan perkara kepada Tehran.
Advertisement
Antaranya, Washington difahamkan mencadangkan pelaksanaan gencatan senjata dengan tempoh dua bulan.
Bagaimanapun, Iran menegaskan sebarang isu utama perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari dan menolak pendekatan yang hanya menumpukan kepada lanjutan gencatan senjata.
Sebaliknya, Tehran mahu fokus diberikan kepada “penamatan perang sepenuhnya”.
Menurut Tasnim, pelan 14 perkara Iran merangkumi beberapa tuntutan utama, termasuk jaminan bukan pencerobohan, pengunduran pasukan tentera AS dari kawasan berhampiran wilayah Iran, penamatan sekatan laut, pembebasan aset Iran yang dibekukan, dan penarikan balik sekatan ekonomi.
Cadangan itu turut menuntut agar peperangan dihentikan “di semua medan”, termasuk konflik yang sedang berterusan di Lubnan.
Iran dilaporkan kini menunggu maklum balas rasmi daripada AS berhubung cadangan tersebut, di tengah-tengah usaha diplomatik yang berterusan bagi meredakan ketegangan serantau.
Belum ada kenyataan segera daripada pihak Washington setakat ini mengenai pelan yang dilaporkan itu.