Skip to main content

Dunia

Sekurang-kurangnya 13 terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lubnan

TB_LUBNAN TYRE_AP
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, seramai 2,659 orang terkorban sejak konflik memuncak semula awal Mac lalu, tanpa membezakan antara orang awam dan pejuang. - Foto fail/AP

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 13 orang, termasuk empat wanita dan seorang kanak-kanak, terbunuh dalam serangan udara Israel di selatan Lubnan, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Lapan daripada mangsa maut dilaporkan terbunuh di Haboush, daerah Nabatieh, termasuk dua wanita dan seorang kanak-kanak, meskipun Tentera Pertahanan Israel (IDF) sebelum itu mengeluarkan arahan pemindahan.

Advertisement

Empat lagi, termasuk dua wanita, terbunuh di Zrarieh, daerah Sidon, manakala seorang terbunuh di Ain Baal, daerah Tyre.

Seramai 32 orang dilaporkan cedera dalam serangan pada Jumaat.

Pertempuran antara Israel dan kumpulan disokong Iran, Hezbollah, berterusan walaupun terdapat lanjutan gencatan senjata selama tiga minggu.

Pada Sabtu, Hezbollah berkata ia menyasarkan askar dan kenderaan tentera Israel di dalam wilayah Lubnan.

Tentera Israel pula mengesahkan seorang anggotanya terbunuh dalam pertempuran di selatan Lubnan pada Khamis, menjadikan jumlah kematian tentera Israel sejak awal Mac kepada 17 orang.

IDF turut memaklumkan ia melancarkan kira-kira 50 serangan ke atas selatan Lubnan dalam tempoh 24 jam lalu, menyasarkan lokasi yang didakwa digunakan Hezbollah.

Perkembangan itu berlaku ketika usaha diplomatik yang diketuai Amerika Syarikat diteruskan bagi mengekalkan gencatan senjata, yang sebelum ini berjaya mengurangkan serangan di Beirut namun gagal menghentikan keganasan di kawasan selatan Lubnan.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, seramai 2,659 orang terkorban sejak konflik memuncak semula awal Mac lalu, tanpa membezakan antara orang awam dan pejuang.

 

Must Watch Video