Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Iran tolak pelan damai 15 perkara cadangan Trump

Israeli security forces survey the site that was struck by an Iranian missile in Dimona, southern Israel, Sunday, March 22, 2026. (AP Photo/Ariel Schalit)
Iran menuntut mekanisme konkrit bagi memastikan perang tidak dimulakan semula, walaupun tidak jelas negara mana yang akan menjamin atau memantau perkara tersebut. - Gambar fail AP

TEHRAN: Iran telah menolak pelan damai 15 perkara yang dilaporkan dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menamatkan perang, menurut saluran kerajaan Press TV.

Press TV memetik seorang “pegawai kanan politik-keselamatan” yang tidak dinamakan yang menyenaraikan lima syarat Iran untuk menamatkan konflik tersebut termasuk tuntutan agar pampasan dibayar atas kerosakan yang berlaku.

Advertisement

White House tidak mengesahkan kandungan pelan itu — yang didedahkan oleh rangkaian Channel 12 Israel dan hanya mengakui terdapat “beberapa elemen yang benar” di dalamnya. 

Pelan itu dikatakan mengandungi komitmen Iran untuk tidak membina senjata nuklear, serta membuka semula Selat Hormuz yang strategik.

Perang mula meletus pada 28 Februari lalu dengan serangan udara AS dan Israel sebelum Iran mengembangkan konflik tersebut dengan menyerang sekutu Amerika di Teluk.

Pada Selasa, Trump mendakwa, Iran kini “terdesak” untuk mengadakan rundingan dan bahawa perunding Iran telah memberikan AS satu “hadiah yang sangat signifikan.”

Trump mendakwa, “hadiah” itu berkaitan minyak dan gas serta Selat Hormuz, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Sehari kemudian, Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt berkata, rundingan sedang berlangsung dan “produktif.”

Namun, Menteri Luar Iran berkata, tiada rundingan sedang diadakan dengan AS.

Abbas Araghchi berkata pada Rabu, AS menghantar mesej melalui pelbagai perantara, tetapi pertukaran mesej seperti itu “tidak bermaksud rundingan.”

“Kami tidak berniat untuk berunding,” kata Araghchi.

Dalam masa sama, beliau tidak menyatakan sama ada rundingan tidak langsung sedang dijalankan — atau ditolak sama sekali.

Apa kandungan pelan Trump?

Menurut Channel 12 Israel, Iran perlu memenuhi beberapa tuntutan untuk menamatkan perang.

Sebahagian besar tuntutan ini berkaitan dengan alasan utama yang diberikan pegawai AS bagi memulakan perang tersebut. Antaranya:

  • Untuk menghalang Iran membina senjata nuklear (tuduhan yang tidak pernah dibuktikan dan sentiasa dinafikan oleh Iran).
  • Menghapuskan ancaman daripada program peluru berpandunya.

Menurut cadangan tersebut, Iran mesti:

  • Berjanji tidak akan mengejar pembangunan senjata nuklear.
  • Membongkar fasiliti nuklearnya.
  • Menyerahkan semua uranium diperkaya kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), yang kemudiannya akan memantau pematuhan Iran.
  • Mengehadkan program peluru berpandunya dari segi jarak dan kuantiti.
  • Menghentikan pembiayaan proksi serantau — Hezbollah di Lubnan, Hamas di Gaza dan Houthi di Yaman.
  • Membuka semula Selat Hormuz sebagai “koridor maritim bebas.”

Penutupan Selat Hormuz - saluran bagi satu perlima bekalan minyak dan gas dunia telah menyebabkan harga tenaga melonjak dan mencetuskan kebimbangan kemelesetan global.

Sebagai balasan, semua sekatan antarabangsa terhadap Iran akan ditarik balik, menurut pelan yang dilaporkan itu.

Sekatan penuh telah dikenakan semula pada November lalu selepas Iran menggantung pemeriksaan fasiliti nuklearnya susulan pengeboman AS dan Israel ke atas beberapa tapak nuklear dan pangkalan tenteranya.

Apabila diminta mengesahkan butiran pelan tersebut, setiausaha akhbar Trump berkata: “White House tidak pernah mengesahkan keseluruhan pelan itu. Ada unsur kebenaran, tetapi beberapa laporan tidak sepenuhnya tepat.”

Apakah tuntutan balas Iran?

Menurut Press TV, Iran menyenaraikan lima syarat untuk menamatkan perang.

Antaranya:

  • Penghentian sepenuhnya “pencerobohan dan pembunuhan sasaran” oleh musuh. Pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu dan pegawai Israel sebelum ini menyatakan hasrat untuk “memenggal kepala sotong” — merujuk kepada Iran. Sejak hari pertama perang, beberapa pegawai kanan Iran terbunuh termasuk pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei dalam satu serangan udara Israel yang besar di Tehran.
  • Iran menuntut mekanisme konkrit bagi memastikan perang tidak dimulakan semula, walaupun tidak jelas negara mana yang akan menjamin atau memantau perkara tersebut.
  • Pembayaran ganti rugi perang, termasuk pampasan ekonomi, selain hak untuk mengekalkan kawalan tunggal ke atas Selat Hormuz.
  • Penghentian serangan Israel terhadap sekutu Iran di rantau ini.

Israel telah meningkatkan kempen ketenteraannya terhadap Hezbollah, malah mengumumkan tenteranya akan kekal dalam zon penampan lebih luas di dalam Lubnan sehingga serangan ke atas Israel Utara dihentikan.

Pegawai tidak dinamakan itu berkata syarat ini adalah tambahan kepada tuntutan yang telah dikemukakan Iran dalam rundingan di Geneva pada Februari, beberapa minggu sebelum perang bermula.

Adakah perang akan berakhir?

Sebarang rundingan masa depan dijangka dipimpin oleh utusan damai Trump, Steve Witkoff dan Jared Kushner.

Cadangan damai AS ini kelihatan serupa dengan model yang digunakan untuk menamatkan lebih dua tahun pertempuran antara Israel dan Hamas di Gaza.

Jika prosedur itu diulang, satu gencatan senjata perlu diumumkan terlebih dahulu bagi membolehkan rundingan penuh dimulakan.

Channel 12 mendakwa, Israel mungkin tidak begitu bersedia menghentikan serangan terhadap Iran buat masa ini — Netanyahu juga menunjukkan keberatan serupa semasa rundingan Gaza.

Menteri Ekonomi Israel, Nir Barkat berkata kepada BBC, Iran tidak mungkin menerima syarat Trump.

Cadangan AS dilaporkan disampaikan kepada Iran melalui Pakistan. Turkiye dan Mesir juga dilaporkan terlibat dalam usaha mendapatkan penyelesaian perang. 

Menteri Luar Mesir berkata pada Rabu, beliau mempunyai saluran komunikasi terbuka dengan rakan sejawatannya dari Iran, Araghchi.

Tidak jelas sama ada pertukaran mesej ini merupakan sebahagian daripada rundingan yang Trump sebutkan.

Trump tidak menyatakan siapa yang AS sedang bincang, sebaliknya, hanya mereka adalah “orang yang tepat.”

Pemimpin Agung baharu Iran, Mojtada Khamenei yang belum muncul di khalayak ramai sejak cedera dalam serangan yang membunuh bapanya — tidak dipercayai terlibat dalam sebarang rundingan.

Kepimpinan Iran pada masa ini berhati-hati dengan sebarang bentuk perbincangan dengan AS memandangkan perang bermula semasa rundingan bagi perjanjian nuklear baharu masih berjalan.

Selain itu, tentera AS kini dihantar ke rantau tersebut, dengan beberapa laporan mencadangkan mereka mungkin digunakan untuk membuka semula Selat Hormuz atau merampas wilayah tertentu di Iran. - Agensi

Must Watch Video