KUALA LUMPUR: Industri takaful Malaysia kekal berdaya tahan pada 2025 dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.73 peratus sekali gus membawa jumlah sumbangan kasar kepada RM16.38 bilion, menurut Persatuan Takaful Malaysia.
Pengerusi interimnya, Borhanudin Samsudin berkata, perkara ini mencerminkan trajektori pemulihan yang semakin stabil selepas pandemik serta asas pertumbuhan yang berkembang dengan ketara.
“Secara keseluruhannya, pengendali takaful membayar manfaat sebanyak RM10.61 bilion pada 2025.
“Daripada jumlah tersebut, 74.6 peratus atau RM7.91 bilion disalurkan oleh Takaful Keluarga manakala Takaful Am melunaskan sebanyak RM2.70 bilion,” katanya ketika berucap di sini, pada Rabu, mengenai prestasi industri takaful bagi 2025.
Borhanudin berkata, penerimaan terhadap produk takaful mengatasi kadar pertumbuhan penduduk dengan sebanyak 861,956 sijil Takaful Keluarga baharu dikeluarkan sepanjang 2025.
Ini membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 6.74 juta sijil yang masih berkuat kuasa pada penghujung tahun tersebut selepas mengambil kira sijil yang matang secara semula jadi, tempoh tamat, diganti serta ditamatkan dalam tempoh yang sama.
“Ini amat menggalakkan memandangkan terdapat peningkatan dalam bilangan mutlak sijil yang berkuat kuasa berbanding 6.69 juta pada 2024, sekali gus menandakan usaha industri mendorong lebih ramai peserta untuk mengekalkan sumbangan mereka,” katanya.
Walaupun ia merupakan petanda positif bahawa lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai akses kepada perlindungan di bawah takaful, penyederhanaan daripada 993,393 sijil Takaful Keluarga baharu yang ditambah pada 2024 mencerminkan landskap yang lebih perlahan bagi pengambilalihan perniagaan baharu.
Dari segi sumbangan, beliau berkata, sumbangan perniagaan baharu Takaful Keluarga mencatatkan prestasi yang mendatar tetapi stabil pada RM9.74 bilion pada 2025, meningkat sebanyak RM10.0 juta berbanding 2024.
Borhanudin berkata, sumbangan perniagaan yang berkuat kuasa meningkat kepada RM10.15 bilion daripada RM9.62 bilion yang sebahagian besarnya dikekalkan oleh produk endowmen dalam segmen perniagaan keluarga biasa individu.
Jumlah penyertaan perlindungan perniagaan yang berkuat kuasa iaitu nilai perlindungan turut berkembang dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.47 peratus kepada RM1.62 trilion daripada RM1.55 trilion sekali gus menandakan penghargaan yang lebih tinggi terhadap takaful dalam kalangan rakyat Malaysia.
Secara keseluruhan, segmen Takaful Keluarga mengekalkan kedudukannya yang kukuh dalam landskap perlindungan yang lebih luas dengan penguasan pasaran sumbangan perniagaan baharu meningkat sedikit kepada 39.44 peratus daripada 39.16 peratus pada 2024.
Kadar penembusan takaful kekal stabil pada 19.63 peratus di tengah-tengah pertumbuhan populasi Malaysia yang meningkat kepada 34.33 juta (2024: 34.10 juta).
“Kadar penembusan meningkat daripada 19.57 peratus, mencerminkan usaha berterusan industri untuk memperluas perlindungan dan mengekalkan capaian kepada asas populasi yang lebih besar,” kata beliau.
Mengenai Takaful Am, Borhanudin berkata, sumbangan bertulis kasarnya meningkat 12.38 peratus tahun ke tahun kepada RM6.64 bilion pada 2025 daripada RM5.91 bilion, sebahagian besarnya dipacu oleh takaful motor.
Ia kekal sebagai penyumbang terbesar merangkumi hampir 69.0 peratus (68.89 peratus) daripada sumbangan bertulis kasar, mencatatkan perkembangan sebanyak 12.57 peratus sekali gus mencerminkan permintaan berterusan untuk perlindungan kenderaan bermotor.
Perniagaan takaful bukan motor turut berkembang pada 2025, meningkat 11.95 peratus berbanding 2.19 peratus pada tahun sebelumnya.
“Takaful kebakaran mencatatkan pengambilan yang lebih kukuh dengan sumbangan bertulis kasar sebanyak RM1.11 bilion iaitu peningkatan sebanyak 10.43 peratus manakala takaful kemalangan diri meningkat kepada RM422.67 juta yang diterjemahkan kepada kenaikan sebanyak 8.93 peratus,” kata beliau.
Agensi kekal sebagai saluran utama bagi pengedaran Takaful Am mewakili 61.50 peratus daripada sumbangan bertulis iaitu sedikit rendah berbanding 62.67 peratus yang dicatatkan pada 2024.
Bancatakaful kekal sebagai penyumbang kedua terbesar pada 13.37 peratus, menurun sedikit daripada 13.63 peratus.
Pengendali takaful mengagihkan sebanyak RM1.30 bilion lebihan dan manfaat kepada peserta yang layak pada 2025.
Ini membuktikan bagaimana takaful mencipta nilai bersama apabila para peserta bertindak sebagai rakan kerjasama dalam sistem yang diasaskan atas konsep manfaat bersama dan tanggungjawab bersama.
-- BERNAMA