Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: “Jangan desak saya” - Trump enggan tetapkan tempoh perang Iran

Israel Ambassador to the U.S. Yechiel Leiter, U.S. Ambassador to Lebanon Michel Issa, Lebanon Ambassador to the U.S. Nada Hamadeh Moawad, U.S. President Donald Trump, U.S. Secretary of State Marco Rubio, U.S. Ambassador to Israel Mike Huckabee and U.S. Vice President JD Vance hold a briefing in the Oval Office at the White House in Washington, D.C., U.S., April 23, 2026. REUTERS/Kylie Cooper TPX IMAGES OF THE DAY
Presiden Donald Trump mengadakan taklimat di Pejabat Oval, White House, Washington, pada Khamis. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan, beliau tidak berdepan sebarang tekanan masa untuk menamatkan perang atau memuktamadkan perjanjian dengan Iran, sambil meminta semua pihak supaya tidak mendesaknya agar bertindak tergesa-gesa.

Bercakap kepada wartawan di Pejabat Oval, White House, di sini, pada Khamis, Trump enggan menyatakan berapa lama beliau sanggup meneruskan konflik itu apabila ditekan mengenai garis masa.

Advertisement

“Jangan desak saya,” katanya ringkas.

Trump menolak tanggapan bahawa pentadbirannya berada di bawah tekanan masa, sambil merujuk kepada konflik‑konflik terdahulu yang melibatkan AS dan berlanjutan dalam tempoh yang panjang.

“Kita berada di Vietnam selama kira-kira 18 tahun. Kita berada di Iraq selama bertahun-tahun. Saya tidak mahu menyebut Perang Dunia Kedua kerana ia konflik besar, tetapi kita terlibat hampir empat setengah hingga lima tahun,” katanya.

Presiden itu menggambarkan gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa sebagai satu perkembangan positif dalam usaha diplomatik dan berkata keputusan untuk menghentikan pertempuran dibuat lebih awal kerana pihak Iran mahukan keamanan.
“Kita berhenti sedikit lebih awal kerana mereka mahu sedikit kedamaian,” katanya.

Trump turut mendakwa Tehran berminat untuk mencapai perjanjian, namun berdepan kekeliruan dalaman yang menjejaskan proses rundingan.

“Mereka mahu membuat perjanjian. Kita telah bercakap dengan mereka, tetapi mereka sendiri tidak tahu siapa yang mengetuai negara itu. Mereka berada dalam keadaan kucar-kacir. Jadi kami fikir untuk memberi mereka sedikit masa bagi menyelesaikan keadaan itu,” katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa dirinya tidak berasa sebarang tekanan untuk menamatkan perang dengan segera, meskipun sebelum ini menyebut tempoh empat hingga enam minggu. 

Trump merujuk kepada situasi ekonomi Iran yang semakin terhimpit, khususnya ketidakupayaan negara itu mengeksport minyak susulan sekatan laut yang masih berkuat kuasa.

“Saya tidak mahu mendesak diri saya sendiri, kerana setiap laporan mengatakan ‘Trump berada di bawah tekanan masa’. Tidak. 

"Pihak yang berada di bawah tekanan masa ialah Iran, kerana jika minyak mereka tidak dapat bergerak, keseluruhan infrastruktur minyak mereka akan runtuh,” katanya. - Agensi

Must Watch Video